Tuesday, 12 November 2013

Membina Jatidiri Muslim Dan Halangannya.

Apakah tugas seorang lelaki dan wanita Muslim sebaik sahaja mereka berkahwin? Antaranya ialah menyediakan asas kepada pembinaan sebuah keluarga Islam. Kemudian, membina suasana hidup dan aroma serta aura budaya Islam yang akan menjadi ruang kepada pembinaan keluarga Islam yang dinyatakan tadi. Bagaimanakah..?

Bermula dari dua insan Muslim lagi beriman. Mempunyai keyaqinan/aqidah yang murni dan benar, penghayatan ubudiah yang lengkap serta gaya hidup Islam yang teratur lagi jelas dan tuntas. Diperkuatkan pula oleh sifat peribadi yang tulus ikhlas dan pemikiran yang lurus berasaskan kefahaman dan ilmu yang mantap dari sumber Al Quran dan Sunnah. Mampu membawa gaya hidup yang dinamik dan penuh ruh Islam yang bersifat universal, sesuai dengan fitrah; bersih dan jujur sifatnya.

Kehidupan yang diperkuatkan dengan sumber rezeki halal dari usaha sendiri di bumi Allah melalui pertanian atau perniagaan maupun makan gaji; membawa kepada keberkatan rezeki dan sifat syukur serta qanaah, tiada pembaziran atau rasa takut miskin dan keluh kesah. Taqwa adalah kekuatan yang menjadi daya tolak kepada kemajuan duniawi, manakala tawakkal menjadi daya tarik kepada kawalan landasan ukhrawi; menjadikan satu sistem kehidupan yang berdaya maju dan berdaya tahan dalam semua jenis suasana dan mehnah di mana sahaja.

Maka, bermulalah pembinaan keluarga ini dengan kelahiran zuriat demi zuriat dan proses perkembangan dan kawalannya secara zahiri, ruhi dan fikri. Penghayatan tauhid yang tegas dan pengukuhan iman memang tidak dapat dipisahkan dari kesungguhan dalam mengamalkan syariat secara syumul. Dimulakan dengan menghayati sunnah dan adab yang ringkas dalam aktiviti hidup harian sehinggalah kepada penghayatan sifat2 mahmudah dan mujahadah menekan hawa nafsu, sentiasa subur dan diperbaharui tekad dan semangatnya setiap hari; bukan ditinggalkan dan diremehkan kerana mengejar kedudukan dengan bangsa2 kuffar.

Menuntut ilmu Al Quran dan Hadith secara hakiki sehingga khatam, adalah langkah pertama bagi seorang kanak2 sebelum meneruskan hidup ke zaman remaja dan dewasa. Kemudian diikuti dengan usaha2 mengembangkan ilmu tersebut secara aplikasi dan menguasainya di dalam bidang2 yang sesuai; dan ini adalah asas kepada pembinaan kerjaya di masa hadapan, sedangkan ilmu hakiki adalah asas kepada pembinaan kehidupan zahir dan batin secara keseluruhannya. Seterusnya, ibu bapa menjadi role model yang hidup dan contoh ikutan yang praktikal kepada anak2 sejak dari mereka mengenali keduanya.

Apakah halangannya...?

Antaranya yang pertama ialah ibubapa yang jahil tentang Islam. Jahil ini adalah jahil yang diwarisi dari ibubapa mereka sebelum itu. Mengapa ini bisa terjadi..?  Asasnya adalah kerana mementingkan kehidupan dunia dan sibuk mencari rezeki, harta dan pangkat serta menuntut kedudukan di sisi masyarakat. Dunia adalah penjara yang menanti mangsa dan tidak pernah membiarkan mangsanya keluar dengan selamat melainkan binasa atau sangsara. Mereka2 yg mementingkan dunia akan mempelajari segenap ilmunya dan bekerja pula untuk menuntut dan mengumpulkannya selepas itu tanpa mempunyai rasa puas dan letih biarpun usia sudah di penghujungnya. Akibatnya, Islam tidak dipelajari dari sumbernya iaitu Al Quran dan Sunnah secara tuntas, tidak dilaksanakan secara syumul dan tidak difahami secara sahih; maka dengan itu tidak dirasai manis dan indah, tidak dihayati sebagai gaya hidup yang praktik, apatah lagi dikembangkan atau dipertahankan dari ancaman; bahkan dianggap kolot dan dogmatik.

Kedua ialah; sistem hidup yang menjadi arus perdana tidak lagi mementingkan Islam atau telah mengalami evolusi atau mutasi kepada sejenis Islam yang berbeza dari Islam yang hanif dan fitrah sepetimana sepatutnya Islam yang asli yang lazimnya akan tumbuh apabila benih Islam yang baik disemai di tanah yang subur dan berkat. Islam mutasi ini masih dianggap Islam kerana ada beberapa ciri seperti semangatnya yg masih meruap2 seperti semangat anti Zionis dan simpati kepada Palestin; dan istilah2 yang digunakannya masih berbunyi seperti bahasa arab. Adapun, hakikatnya secara fikri dan ruhi bukanlah Islam yang sejati tetapi jelmaan Islam yang disenyawakan secara haram oleh orientalis barat di sepanjang zaman pra dan post penjajahan. Contoh adalah mudah: apabila Belanda keluar dari Indonesia setelah menjajah dan menjarah negara itu dan rakyatnya selama 300 tahun, orientalis yang hebat bernama Snouck Hurgronje telah berusaha memutasi masyarakat Islam di sana sehingga lahir tokoh kemerdekaan yang menjadi pengasas Pancasila iaitu Bung Karno. Pancasila diamalkan sebagai sistem sosial, berkembang menjadi sistem kapitalis sekular dan meresap ke dalam fahaman massa menjadi sistem Neoliberalisme yang seakan menjadi ruh agama nasional yang menguasai pemahaman dan pemikiran semua penganut agama termasuk Islam. Kefahaman yang lahir dari proses mutasi ini sukar diubah kerana telah sebati menjadi darah daging.

Ketiga adalah: fobia terhadap Islam akibat dari momokan dakyah anti Islam oleh penjenayah barat yang dipelopori oleh Zionis; yang malabelkan Islam secara fundamental adalah ganas dan rigid; berbanding barat yang mesra alam dan bertolak ansur. Hakikatnya, barat sejak zaman perang salib telah berusaha bermati2an sehingga kini untuk memadam hakikat Islam dari mukabumi dan memisahkan Muslim dari sumber Islam itu sendiri iaitu Al Quran dan Sunnah, dengan memberi alternatif sumber ilmu duniawi sepeti yang sedang berlaku sekarang. Fobia ini menyebabkan Muslim merasa ragu untuk masuk secara keseluruhan ke dalam Islam kerana khuatir terasing, mundur dan dipinggirkan oleh khalayak selain dari ketakutan terhadap ancaman kuasa perang negara barat. Maka semangat Islam setakat macam ayam jantan berkokok atas pagar, jihad sampai bila pun tak lebih dari umpama bara tertimbus dalam sekam basah, hangat2 tahi ayam; jangankan disiram hujan, dititis embun pun habis terpadam.

Keempat ialah: pengasingan diri para ilmuan Islam terhadap gerakan dakwah secara fi'liah yang diasaskan oleh gerakan Jamaah Tabligh dengan alasan bahawa dakwah tidak terhad kepada kaedah tertentu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di zaman baginda tetapi boleh saja memakai pelbagai cara. Mengambil pendekatan yang mirip2 secara fi'li dengan cara Rasulullah SAW dikatakan seperti memilih menaiki unta dan kuda di zaman ini yang mana kenderaan berenjin menguasai lebuhraya sedangkan menaiki hanya unta dan kuda adalah lambang kemunduran dan kebodohan. Oleh itu dakwah cara moden yang menggunakan multimedia dan internet dianggap lebih praktikal dan lebih berkesan berbanding cara Jamaah Tabligh yang perlu pengorbanan besar merentasi negara2 dan benua2. Akibat dari pengasingan ini, semangat pengorbanan untuk Islam menjadi sangat tipis bahkan pupus sama sekali. Khidmat untuk menyebarkan Islam memerlukan imbalan dalam bentuk bayaran, penajaan dan elaun2 tertentu. Jihad dengan harta dan diri yang menjadi nadi perjuangan Islam di zaman kegemilangannya tidak lagi dikenal. Pendakwah yang benar dan aktif sepatutnya mencari sasaran mereka di lembah kesesatan, membawa mereka keluar dan menyelamatkan mereka. Jika pendakwah menjadi pasif dan mengharapkan dunia, maka mereka bertukar menjadi tok syekh kaya yang menunggu orang yang mau mendengar ceramah mereka dengan bayaran; maka orang2 yg sesat di lembah maksiat sampai bila pun tidak terselamat.

Kelima ialah: fokus asasi para ilmuwan dan agamawan semasa menuntut ilmu agama adalah untuk keperluan usaha mencari rezeki atau kerjaya. Yang mana setelah selesai mereka akan bekerja sebagai ustaz dan pegawai agama yang menerima gaji tetap, yang dengan itu mereka membina kehidupan seperti manusia lain. Perkara ini adalah akibat mementingkan dunia dan kemewahannya juga. Oleh yg demikian, mereka tidak menuntut ilmu agama dan bertekun menguasainya seperti mana para ilmuan silam yang menghabiskan usia dan harta bagi menguasai dan menyebarkan ilmu Islam kepada umat dan mempertahan dan menegakkan syariat di atas kemusnahan batil walaupun mereka terpaksa berkorban nyawa. Sebab itu tiada lagi lahir tokoh2 hebat seperti Imam Syafie atau Imam Ghazali atau Imam Hassan Asy'ari pada zaman mutakhir ini di kalangan umat Islam berbanding dengan puluhan ribu graduan pakar ilmu dunia dan ahli2 korporat yang kaya raya lahir setiap tahun. Jika keutamaan adalah mencari sara hidup; maka sudah tentu perjuangan dan pengorbanan untuk memperkukuhkan dan mendaulatkan ilmu menjadi sekadar tempat berpijak untuk meraih kedudukan dunia. Buktinya apabila para ilmuan bergelar Dato dan ustaz selebriti menghiasi kaca TV memperkatakan Islam hanya yang lunak-lunak lagi disenangi oleh Pak Menteri.

Keenam ialah: kemusnahan khilafah Islam dan sistem politik Islam itu sendiri lalu diganti dengan sistem politik penjajah bernama demokrasi yang kemudiannya dianuti oleh pemimpin2 Islam sebagai satu sistem yang paling ideal untuk Umat Islam lalu mereka bercita2 menubuhkan negara Islam melalui pilihanraya secara demokrasi. Padahal sistem demokrasi ini adalah lanjutan dari sistem pecah dan perintah yang dipaksakan ke atas negara Islam sehingga mereka berpecah menjadi pelbagai negara2 kecil yg merdeka dan dikawal oleh pelbagai sistem yang mengasingkan mereka dari satu sama lain. Dengan sistem demokrasi ini, rakyat di dalam satu negara akan berpecah kepada pelbagai parti politik yang akan bertanding dan bersaing bagi merebut kuasa pemerintahan melalu pelbagai cara. Dengan itu mereka tidak akan bersatu menentang penjajah mereka lagi kerana merasa telah merdeka dan berdaulat serta berkuasa penuh menentukan siapa pemimpin mereka. Impian ini hakikatnya hanyalah mimpi di siang hari kerana pengaruh jahat penjajah di dalam sistem demokrasi seperti rasuah dan politik wang tidak akan berhenti dari menghantui rakyat yang sejak sekian lama disogokkan rasa tamak kepada kesenangan dan kemewahan dunia.

Ketujuh ialah: penguasaan hiburan dalam segenap aktiviti manusia termasuk Muslim, dan bermaharajalela media hiburan ke dalam kehidupan mereka yang menawarkan aliran gaya hidup hedonism dari peringkat yang paling nipis sehingga ke hardcore. Ini menyebabkan hiburan menjadi ibarat jantung hati generasi sekarang dan kemampuan mereka mengakses segala jenis hiburan sememangnya tidak terbatas. Hiburan ini antaranya yang paling kuat pengaruh adalah muzik dan nyanyian. Muzik telah meresap ke dalam minda dan hati manusia umpama perjalanan darah. Bahana muzik inilah minda dan hati generasi Muslim sekarang ini tidak lagi cenderung kepada Al Quran dan zikrullah. Ini kerana gelombang irama muzik dan lagu adalah berbentuk syaitani yang sangat jauh bercanggah dengan gelombang irama Al Quran dan zikrullah yang bersifat rabbani, murni, suci dan penuh ketenangan.

Kesemua halangan-halangan ini telah membentuk bukan sahaja tembok tebal yang mengurung hati nurani dan minda kita; bahkan telah meracuni udara yang menjadi nafas kita, mencemari air yang menjadi minuman kita dan mengotori bumi yang darinya tumbuh makanan kita. Sebab itu amat-amat sukar pada hari ini untuk menghasilkan seorang mujahid yang package zahir batin, mungkin satu dalam beberapa juta umat; akan tetapi begitu mudah melahirkan anak2 luar nikah yang berasal dari campuran benih manusia dan iblis laknatullah; bersepah di mana-mana sehingga amat sukar dikenal entahkan batu entahkan kaca.

No comments:

Post a Comment