CABARAN GURU
Tidak dapat dinafikan bahawa
pendidikan secara formal di sekolah telah melahirkan ramai tokoh agung
dan profesional. Ini termasuklah bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman
Putra al-Haj, pakar bedah tersohor Dr. Halili Rahmat, usahawan terkemuka
Tan Sri Azman Hashim, Sasterawan Negara, A. Samad Said dan ramai lagi.
Namun begitu, usaha-usaha melahirkan masyarakat yang terdidik akan lebih
membuahkan hasil sekiranya segala cabaran yang terdapat di sekolah
mampu diatasi.
Antara cabaran yang dihadapi oleh
pihak sekolah ialah bilangan murid yang terlalu ramai di dalam kelas.
Purata bilangan pelajar bagi setiap kelas di negara kita ialah mencapai
35 orang. Namun ada juga sekolah yang mencapai angka 45 orang pelajar
bagi kelas-kelas tertentu. Kelas yang sesak akan menyukarkan guru
mengajar dan mendidik. Oleh itu, guru-guru tidak mempunyai masa yang
secukupnya untuk memberi tumpuan dan bimbingan kepada setiap murid.
Kesannya, pelajar-pelajar yang sedehana pandai dan lembap akan
ketinggalan dalam pelajaran mereka. Hal ini akan menjadikan mereka
berasa rendah diri dan terpinggir.
Cabaran kedua yang dihadapi di
semua sekolah di negara kita ialah kemerosotan disiplin pelajar. Sumber
Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan sebanyak 188 902 kes disiplin
yang melibatkan para pelajar telah berlaku sepanjang tahun 1991.
Gejala-gejala disiplin pelajar seperti ponteng rsekolah, melawan guru,
bergaduh, menghisap rokok, merosakkan harta sekolah dan lain-lain itu
telah banyak memberi kesan negatif terhadap pengajaran dan pembelajaran
di bilik darjah. Guru-guru lebih banyak menghabiskan masa untuk
mendisiplinkan pelajar daripada mengajar.
Cabaran seterusnya yang dihadapi
oleh pihak sekolah ialah beban kerja guru yang terlalu banyak. Ini
termasuklah kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan menyiapkan
stastistik peperiksaan, mengisi dan mengemas kini pelbagai borang serta
fail pelajar. Selain itu, guru turut terlibat dengan pelbagai kegiatan
kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan kelab. Pelbagai
beban tugas utama mereka di sekolah, iaitu mengajar dan mendidik. Guru
bukan sahaja gagal menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar bahkan
gagal memberi bimbingan kepada pelajar. Kesannya, ramai pelajar yang
terbiar dan ketinggalan dalam pelajaran.
Di samping itu, pelajar yang
bekerja juga menjadi penghalang kepada sekolah untuk melahirkan pelajar
yang cemerlang. Pada masa ini, ada pelajar yang bekerja di
bengkel-bengkel, kedai makan, klinik swasta, ladang dan sebagainya.
Kalau datang ke sekolah pun mereka tidur dalam kelas dan mengganggu
orang lain yang ingin belajar. Apabila sering dileteri dan dinasihati
oleh guru, mereka mulai melenting dan rtidak datang ke sekolah. Ramai
antara mereka yang berhenti sekolah pada usia belasa tahun. Kalau adapun
pelajar yang meneruskan persekolahan, mereka hanyalah mengharapkan
sijil atau penyataan sahaja.
Cabaran akhir yang dihadapi oleh
sekolah dalam melahirkan kecemerlangan ialah sikap pelajar yang malas
dan pasif. Ramai pelajar yang malas membaca dan membuat latihan yang
diberikan oleh para guru, sebaliknya menggemari bahan berbentuk picisan
seperti majalah Mangga, URTV, Hai, Ujang dan lain-lain yang
kurang bermanfaat. Sikap malas juga menyebabkan mereka sering
mengharapkan guru memberikan 100 peratus ilmu kepada mereka. Lambakan
bahan ilmiah keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bernilai RM400
juta membuktikan para pelajar sekarang malas menimba ilmu pengetahuan.
Sikap mereka yang berterusan ini bukan sahaja memberi kesan negatif
kepada diri sendiri bahkan juga kepada negara.
Kesimpulannya, dunia pendidikan
hari ini menghadapi terlalu banyak cabaran dan kekangan. Kesepaduan
tindakan antara guru, ibu bapa dan masyarakat, selain pihak berkuasa
dituntut demi menangani cabaran ini. Cadangan menambahkan guru disiplin
dan kaunselor di sekolah harus direalisasikan di samping kempen-kempen
kesedaran terhadap buku.
No comments:
Post a Comment