Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri
unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai
luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang
paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap
anak didiknya.
Prinsip utamanya seorang guru mesti faham bahwa tugas mengajar dan
mendidik serta meneladan adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru
mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad
iaitu menentang, membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan,
kelemahan, kealpaan, kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu
pengetahuan. Kerja mengajar pula adalah sebagai suatu ibadah. Oleh itu
seseorang guru itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi
secara penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas.
Dalam Islam tugas guru dikelaskan sebagai:
Al-mu'allim : menyampaikan ilmu yang benar
Al-murabbi : menjayakan proses tarbiah
Al-mu'addib : mengajarkan adab dan budi pekerti
Al-mursyid : membentuk kepimpinan insan
Al-mudarris : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru sentiasa berusaha
meningkatkan ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling
tinggi. Guru yang perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula
mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat
iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang
rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji, tetap tidak akan
mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. Guru yang berpekerti mulia
seharusnya menerima setiap pelajar dengan baik dan bersedia membantunya.
Guru sebagai pendidik perlu
mempunyai iltizam yang lebih untuk melaksanakan aktiviti bagi mencapai
aspirasi-aspirasi yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dengan adanya ilmu pengetahuan yang baru, guru harus lebih bersedia
untuk melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran baru bagi
melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani.
Guru yang berpandangan futuristik akan sentiasa menokok tambah ilmunya
dengan membaca dan menghadiri seminar dan bengkel. Dia sentiasa
menyedari perkembangan baru dalam arena pendidikan dan dapat memainkan
peranan sebagai seorang inovator.
Guru hendaklah sentiasa menekankan unsur perpaduan, keprihatinan,
ikram, berbudi bahasa, berkeupayaan bersaing dan berdikari dalam
kegiatan pengajaran dan pembelajarannya. Unsur warisan kebudayaan negara
hendaklah diserapkan ke dalam di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
dilaksanakan harus mirip ke arah perkembangan potensi pelajar secara
menyeluruh dan bersepadu yang merangkumi aspek intelek, rohani, emosi
dan jasmani.
Unsur bersatu padu hendaklah sentiasa ditekankan oleh guru dalam segala
kegiatan yang dikendalikannya dan cuba memastikan pelajar-pelajar
pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Unsur
demokratik juga perlu disemai dalam proses pengajaran dan
pembelajarannya kecuali dalam hal-hal tertentu pelajar boleh diberi
peluang untuk membuat keputusan.
Guru sewajarnya menitikberatkan nilai-nilai disiplin dalam pengajaran
dan pembelajaran seperti ketepatan masa, bersopan santun, bertimbang
rasa, tolong menolong, prihatin dan bekerjasama di kalangan pelajarnya
yang mana amalan ini akan membolehkan para pelajar membesar menjadi
ahli-ahli masyarakat yang bersifat penyayang dan berdisiplin.
Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru
bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga
mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan
inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini
sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti
pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan kerjaya mereka.
Jadi menyediakan diri menjadi guru yang profesionalisma perlukan
latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila
sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif,
semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah
seseorang guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran,
tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses
peningkatan dan globalisasi.
Oleh itu selaku guru sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu
juga amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang
kita tidak buat akan mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam
banyak senario kita boleh lihat dan nilai sendiri bagaimana guru yang
dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa menampilkan
sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau
seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan
segelintir murid yang lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru
yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga dari pagi sampai ke tengah hari
(atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas yang cerdas dengan
murid atau kelas yang kurang cerdas.
Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati,
akibat dari sikap dan perbuatan guru sendiri dan menyangka yang rosak
dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah sahaja. Kerosakan yang lebih
besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah, buruknya perangai diri
guru itu sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu.
Guru tidak mungkin menjadi efisyen jika mempunyai ciri guru yang
"powerless" , tidak ada prinsip, buta mata hati, tahu tapi tidak mahu
tahu atau seorang guru yang ada ilmu tapi tidak beramal dengan ilmunya.
Setiap diri kita pasti mampu dan berjaya menjadi seorang guru yang
sebenar guru
No comments:
Post a Comment