Sunday, 10 November 2013

Keputusan PEPERIKSAAN AKHIR TAHUN 2013 baru sahaja diumumkan. Tahniah kepada yang berjaya memperolehi kejayaan cemerlang. Kepada yang kurang cemerlang, janganlah terlalu sedih dan berduka cita, yakinlah setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Ya, semua yang berlaku ada hikmahnya untuk semua orang.
Kepada yang berjaya, syukurilah nikmat kejayaan tersebut dengan lebih menghampirkan diri kepada Allah, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya. Yakinlah bahawa kurniaan Ilahi berbentuk kejayaan ini adalah salah satu ujian, untuk melihat adakah anda seorang yang bersyukur dan kembalikan puja puji sebenar kepada Allah. Bukan kepada diri sendiri semata-mata.
Usaha dan natijah
Keputusan peperiksaan adalah hasil daripada usaha yang kita kerjakan. Kita tidak mampu menentukan keputusan peperiksaan, kerana ia di luar bidang kuasa kita. Tetapi kita mampu untuk berusaha ke arah mencapai kejayaan. Sebagai seorang beriman kita wajib meyakini bahawa peranan kita sebagai hamba Allah adalah berusaha sedaya usaha, kemudian serahkan natijahnya kepada Allah.

Kita dipertanggungjawabkan atas usaha bukan atas keputusan. Kalaulah semua orang dipertanggungjawabkan atas keputusan, maka ramailah yang gagal dalam hidup mereka. Begitu juga kita tidak wajar menyalahkan para nabi, kononnya gagal memastikan anggota keluarga mereka sendiri menerima hidayah Allah.Berbanggalah…
Kita layak berbangga jika kita berusaha, kemudian berjaya. Juga layak untuk berbangga, jika telah berusaha bersungguh-sungguh, kemudian gagal- atas keyakinan telah menunaikan tanggung jawab. Justeru, kita tidak layak berbangga jika beroleh kejayaan cemerlang tanpa usaha yang sepatutnya!
Itu untuk murid yang menduduki peperiksaan, begitu juga dengan guru, ibu bapa dan penjaga yang anaknya memperolehi kejayaan cemerlang. Anda tidak layak berbangga jika anda tidak menyumbang kepada kejayaan tersebut…
Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment