Monday, 11 November 2013

ISU KALIMAH ALLAH


Isu penggunaan perkataan Allah oleh bukan Islam amat mudah di selesaikan jika semua pihak mengambil pendekatan ilmiah. Namun, isu ini menjadi rumit apabila dikaitkan dengan politik. 
Penggunaan perkataan Allah dalam kalangan bukan Islam sepatutnya dibincang dalam dua tajuk berasingan. Pertama ialah, adakah bukan Islam dibenarkan menggunakan kelimah Allah? Jawabnya ialah tidak ada bukti dan dalil yang menghalang penggunaan perkataan Allah oleh mereka sekalipun mungkin orang Islam tidak selesa. Jika merujuk kepada al-Quran Allah SWT mengisyaratkan penggunaan kalimah ini berlaku dalam kalangan mereka. Firman Allah SWT bermaksud;

“Dan Demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: Siapakah Yang mencipta langit dan bumi? sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. (al Zumar: ayat 38)

Salah seorang penyair jahiliyyah yang bernama Labib juga telah menggunakan kaliamah Allah dalam syairnya. Sabda Nabi SAW;

“Ucapan yang paling benar ditutur oleh orang Arab ialah kata-kata Labib, ketahuilah semua perkara selain Allah adalah batil.” (Riwayat Muslim: 2256)

Ketika bermula peperangan Badar, Abu Jahal telah berdoa kepada Allah dengan lafaz berikut;

“Ya Allah, Ini adalah orang yang memutuskan silaturrahim, dia membawa kepada kami perkara yang kami tidak ketahui….” (Rahiq al-Makhtum : Wizarah al-Awqaf 2007)

Memadailah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam apabila ayah Nabi sendiri dinamakan Abdullah. Penggunaan kalimah Allah dalam kalangan mereka sebenarnya begitu meluas ketika zaman jahiliyyah lagi dan tidak sepatutnya menjadi isu besar dalam kalangan umat Islam.

Perkara kedua berkaitan isu ini ialah penggunaan kalimah Allah dalam Bible. Inilah topik yang sepatutnya dibincangkan dengan bijaksana. Jawabnya, bagi saya juga mudah, apakah perkataan Allah digunakan dalam Bible di seluruh dunia. Kalau mereka menggunakannya di merata pelosok dunia, apakah keupayaan kita untuk menghalangnya. Namun berdasarkan fakta, dalam bible tidak ada penggunaan perkataan Allah sebaliknya yang ada hanya god atau ‘Rabb’ dalam bahasa Arab. Maka penggunaan perkataan Allah dalam terjemahan bible di Malaysia tidak sepatutnya berlaku kerana bertentangan dengan fakta ilmu dan realiti tambahan pula bertengangan dengan undang-undang dan budaya setempat.

Saya fikir, jika isu ini diurus dengan baik tanpa campurtangan politik bukanlah merupakan perkara yang besar. Adapun berkaitan dengan permohonan mereka untuk menggunakannya mengapa pula kita melenting kerana itu hak mereka untuk memohon dan hak kita dari sudut ilmu dan undang-undang untuk menolak dengan baik. Maka ucapan berunsur ancaman dan amaran adalah tidak perlu, begitu juga kenyataan bahawa Allah hanya hak ekslusif bagi umat Islam adalah satu kenyataan yang amat menghairankan. 
Al-Imam Al-Baidhawi yang pernah menyatakan; “Setiap suruhan dalam syariah itu  semestinya memberi kebaikan kepada makhluk, dan setiap larangan itu sudah pasti terdapat keburukan disebaliknya” [Sila rujuk Al-Tahqiq Al-Ma’mul Li Minhaj Al-Usul ‘Ala al-Minhaj, halaman 92) 
Al-Qaradawi pula ada menyatakan; “Allah SWT tidak halalkan sesuatu kecuali ia akan ada kebaikan, dan tidak akan haramkan sesuatu kecuali ada keburukan disebaliknya. (Sila rujuk Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, halaman 21) - 
Sesuatu perkara yang dibenarkan melalui nas, tidak kira namanya halal, harus atau wajib dan sebagainya, sudah pasti punyai kebaikannya tersendiri, walaupun kadangkala ia tidak kita sukai. Allah SWT ada menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Dilema hari ini, keizinan ilahi mahu dilawan. Peliknya, mereka yang melawan keizinan ilahi itu menggunakan lebel agama Islam, malahan sanggup menuduh murtad terhadap mereka yang mahu membenarkan perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT itu.Semua ini tidak akan berlaku kecuali berlapikkan hawa nafsu dan sentimen yang dikecam dalam Islam, kerana dengan hawa nafsu dan sentimen ini, ia tidak membawa kepada hidayah, tetapi kepada kerosakan yang tidak disedari.

No comments:

Post a Comment