PANDUAN
BAGAIMANA MENGUKUR KEIKHLASAN
Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh amal atau
jiwa ibadah. Ia jadi penentu apakah amal ibadah kita diterima atau ditolak yang
mana bila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilaian di sisi Allah
atau tidak ada harganya lagi. Sebaliknya kalau ikhlas dalam beramal, Allah
terima dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.
Bagaimanakah yang dikatakan ikhlas ini jadi
penentu? Amal ibadah ini umpama seorang manusia. Bila nyawa (roh) sudah tidak
ada, ia akan jadi bangkai. Bangkai mesti dibuang ke kubur kerana nilai
kemanusiaannya sudah tidak ada lagi di waktu itu. Dia tidak layak lagi bergaul
dengan orang yang hidup. Walaupun dia seorang ratu cantik, orang terpaksa buang
juga kerana ia akan jadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah.
Begitulah dengan amal ibadah kita ini. Kalau tidak
ada roh-nya atau tidak ada jiwanya, yakni tidak ikhlas, Allah anggap seperti
bangkai yang kotor lagi busuk, yang tidak ada harganya. Tidak layak untuk Allah
menerimanya dan tidak layak diberi ganjaran pahala. Bahkan akan dicampak balik
ke muka kita sekalipun seluruh makhluk-makhluk Allah di langit dan di bumi
semuanya memuji-muji amal ibadahnya cantik, baik dan bernilai. Manusia hanya
menilai dengan mata lahir sahaja maka yang kelihatan, amal ibadahnya itu
banyak, cantik dan berakhlak. Sedangkan Allah dapat melihat yang batinnya.
Sekalipun amal itu sedikit, jika ikhlas, Allah tetap menganggapnya banyak.
Sedangkan amal ibadah yang banyak tetapi tidak ikhlas, Allah tetap
menganggapnya sedikit atau macam amalan yang tidak wujud.
Begitulah penting dan bernilainya ikhlas itu. Allah
mahu agama-Nya yang suci murni itu diamalkan secara suci pula yakni tidak
dicelahi dengan sebarang bentuk hati busuk. Tidak dicelahi dengan rasa riyak,
ujub, ingin dipuji, hendak nama, ingin dinilai dengan mata dunia atau dengan
tujuan menolak kemudaratan manusia. Dalam hal ini Allah ingatkan:“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah
agama yang bersih (khalis).” (Az Zumar: 3)
Juga di ayat lain: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya
menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam
menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al
Baiyinah: 5)
Untuk melakukan ikhlas ini sangat susah dan sulit
terutama dalam sebarang amal ibadah seperti yang kita bincangkan dalam bab
sebelum ini kerana hati itu amat seni sekali. Nafsu itu sangat tersembunyi
perasaan halusnya dan sangat payah dikesan. Untuk menguasainya amat sulit. Ia
berbolak-balik setiap hari dan berubah-ubah pula setiap waktu dan detik.
Perjalanannya tidak menentu. Bertukar-tukar dari ujub, riyak, sombong, dengki,
gila puji, gila nama, ingin dinilai dengan harga dunia dan susah untuk
didisiplinkan. Amal ibadah itu selalu terdorong ke arah kepentingan-kepentingan
dunia ini.
Riyak, ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling
payah dihindari kerana gerakannya terlalu halus. Macam desiran semut, tidak
dapat didengar bunyinya. Kita tidak terasa kemahuan-kemahuan nafsu atau
dorongan-dorongan kemahuan hati yang jahat kerana halusnya itu. Inilah yang
dikatakan syirik khafi. Kalau tidak disuluh dengan pandangan mata hati
(basirah), ia tidak akan terasa adanya.
Salafussoleh, bila kenangkan hal-hal begini, mereka
selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi ini. Takut ibadah
mereka tidak ada harga di sisi Allah. Takut mereka akan muflis di Akhirat
sedangkan untuk dapatkan ikhlas terlalu susah. Ikhlas hanya milik Allah. Ia
adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu.
Mereka hanya tahu amal lahir sahaja.
Sebab itu dalam sejarah pernah diceritakan betapa
susahnya untuk dapatkan sifat ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh
Sayidina Muaz.
Rasulullah SAW bersabda: “Puji syukur ke hadrat
Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya. Wahai Muaz!”
Jawabku: “Ya Saiyidil Mursalin.”
Sabda Rasulullah SAW: “Sekarang aku akan
menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu
akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak
akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan
tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada
seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh
malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya. Malaikat yang
memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit
pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah: ‘Saya penjaga tukang
umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan
untuk tidak menerima amalan tukang umpat.”
Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan
si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: “Lemparkan balik amalan ini
ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah
memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang
lain.” Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang
sungguh indah. Penjaga langit berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke muka
pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”
Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: “Berikutnya
malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga
langit itu berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang
yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.”
Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit
kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain
tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata: “Ini adalah amalan tukang
hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya yang
lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan
amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan
hasad.”
Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: “Saya
penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah
ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau
orang mendapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi
langit ini.’
Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba
yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya
bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak
dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: ‘Saya ini penjaga
sum’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam
kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan
yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan
padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih
kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan
orang-orang yang riyak.”
Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan
membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang
baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga
sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT. Semua malaikat
berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh
yang betul-betul ikhlas untuk Allah.
Tetapi firman Tuhan: “Hafazah sekalian, pencatat
amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang
dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan
amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak
boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan
tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa
yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal
terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan
pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana
hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya? Laknat-Ku tetap padanya.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat
yang mengiringinya pun berkata: ‘Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu
dan laknat kami sekalian bagi mereka.’ Dan semua yang di langit turut berkata:
‘Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat’.”
Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan
berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa yang diceritakan
ini?”
Sabda Rasulullah SAW: “Hai Muaz, ikutilah Nabimu
dalam soal keyakinan.”
Muaz bertanya kembali: “Tuan ini Rasulullah
sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh
lepas dari bahaya tersebut?”
Sabda Rasulullah SAW: “Ya begitulah, kalau dalam
amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang
lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat
diri dan menekan orang lain. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui
orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat.
Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak
diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan
Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang
takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan
merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek
oleh anjing-anjing jahanam.” Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Di Neraka
itu ada anjing-anjing perobek badan manusia.”
Muaz berkata: “Ya Rasulullah, siapa yang tahan
menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW: “Muaz, yang kami ceritakan
itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar
semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri
dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu
sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”
Amal ibadah akan tertolak percuma ibarat debu-debu
ber-terbangan kalau keikhlasan hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu
ikhlas bukan boleh ditentukan dengan kata-kata. Misalnya: “Saya beri ini dengan
penuh ikhlas.” “Saya buat ini ikhlas untuk awak.” “Kutujukan ikhlas untukmu.”
“Saya yang ikhlas.” “Saya bantu awak dengan ikhlas hati.”
Tidak perlu disebut ikhlas. Tidak usah ungkapkan
kata-kata tersebut. Ikhlas itu bahasa hati atau kerja hati. Kalau disebut,
ternyata tidak ikhlas. Sebab itu diam sahaja lebih baik. Kita tidak tahu apakah
kita ikhlas atau tidak. Malaikat yang kerohaniannya tajam pun tidak tahu,
mengapa kita yang kerohaniannya tidak tajam mengaku kita ikhlas. Inilah tanda
tidak ikhlas.
Kalau begitu bagaimana hendak mengesan amal ibadah itu
ikhlas atau tidak?
Kita bawa contoh-contoh di bawah ini sebagai panduan untuk mengukur
keikhlasankita.
1. Apakah kita sembahyang, wirid, zikir, doa dan
baca Quran di rumah dengan di masjid ada perbezaan? Di rumah kita buat
cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan di masjid kita lakukan dengan
penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap atau cuba sedap-sedapkan suara
kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada di masjid yakni di depan orang
ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.
2. Pernahkah kita tidak buat sembahyang sunat
sewaktu di rumah tetapi kita buat atau buat lebih banyak kalau di masjid? Kita
buat kerana takut orang kata atau malu pada orang. Itu tanda tidak ikhlas.
3. Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga,
sedap dan suka hati? Waktu dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih?
Kalau terasa megah atau sedih, ertinya belum ikhlas.
4. Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya
mesti ditulis dalam daftar atau disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak,
kita tidak mahu menderma untuk masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan
lain-lain lagi. Atau terpaksa ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau
tidak, kita tidak menderma. Itu tanda tidak ikhlas.
5. Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk
dapat hadiah besar atau piala dan lain-lain? Kalau tidak kita malas atau
langsung tidak membacanya. Ini tanda tidak ikhlas.
6. Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat
kebaikan kemudian suka sebut-sebut atau dengan harapan supaya orang itu balas
kebaikan kita? Apakah selepas kita berbuat baik pada seseorang, kemudian bila
dia lukakan hati kita, langsung kita berkata di depan atau di belakangnya:
“Tidak patut engkau buat begini pada aku. Aku dah banyak tolong engkau. Kalau
aku tak tolong selama ini, susah engkau. Memang orang tak kenang budi.” Ini
juga tanda tidak ikhlas.
7. Pernahkah kita menderma hanya di depan orang
tetapi kalau secara sembunyi, kita tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.
8. Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus
oleh kita sahaja? Bila orang lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini
juga tidak ikhlas.
9. Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji
dan elaun maka kita aktif dan gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita
bersyarah merata-rata tempat. Tapi bila tidak ada jawatan, kita tidak minat
buat kerjakerja itu lagi. Atau kita ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi,
langsung kita tidak minat sebut Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu
namanya, tanda tidak ikhlas.
10. Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang
jauh itu kita pandang pada elaun? Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak
pergi. Atau kalau pergi pun dengan hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda
tidak ikhlas.
11. Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya
dalam pidato-pidato atau seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan
biasa tidak sibuk mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini
juga tidak ikhlas kerana ada motif nama dan kemasyhuran.
12. Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita
diberi gaji? Kalau tidak ada gaji, kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga
secara terpaksa kerana takut dikatakan, ‘Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!’.
Itu tanda tidak ikhlas.
13. Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya
sewaktu-waktu kita harapkan dapat kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati
rakyat dengan harapan parti kita dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi
lagi atau sudah tua, kita tidak sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada
kepentingan diri namanya. Juga tidak ikhlas.
14. Adakah kita buat teguran hanya pada orang-orang
kecil atau orang bawahan sahaja? Tetapi bila tuan-tuan di atas kita buat
kesalahan, kita tidak berani hendak tegur? Ini tanda tidak ikhlas.
15. Adakah di depan ramai sahaja kita kuat jaga
disiplin? Berlakon jadi baik. Bila di belakang orang, hilang disiplin. Mulalah
tidak dapat hendak kawal mata keranjang. Mula tidak dapat mengawal telinga, dan
tidak berakhlak. Ini berakhlak tidak ikhlas namanya.
16. Adakah bila kita ada jawatan dalam kampung atau
di masjid atau apa-apa juga jawatan dalam masyarakat, baru mahu berkorban?
Tetapi bila tidak ada jawatan, tidak mahu berkorban lagi. Itu tanda kerja kita
tidak ikhlas.
17. Renungkanlah, apakah kita mahu belajar Islam
kerana ada jaminan masa depan? Kalau tidak, mungkin kita tidak belajar. Atau
tidak bersungguh-sungguh belajar Islam. Ini juga tidak ikhlas.
18. Pernahkah kita beri bantuan kerana orang itu
berbuat baik kepada kita? Sedangkan kalau orang tidak berbuat baik pada kita,
kita tidak suka membantunya, walaupun orang itu patut dibantu. Ini juga tidak
ikhlas.
19. Adakah kita rasa tidak senang bila ada orang
sekali-sekala menggantikan kita berceramah atau bersyarah di tempat-tempat
kebiasaan kita. Atau kita rasa bangga atau rasa senang hati kerana dia membantu
kerja-kerja kita buat kebaikan? Jika tidak, ini juga tidak ikhlas.
20. Pernahkah terjadi dalam mana-mana mesyuarat
atau mana-mana perbincangan, kita mahu biarlah cadangan-cadangan yang baik dan
bagus hanya datang dari kita? Kalau ada orang lain turut sama memberi pandangan
walaupun baik, kita rasa tidak senang? Ini tanda tidak ikhlas. Orang yang
ikhlas, dia mahu orang lain juga dapat memperkatakan kebenaran. Bukan hanya
melalui dirinya seorang.
21. Adakah depan orang ramai saja ilmu Islam itu
jadi bualan kita tetapi bila berhadapan dengan anak isteri, kita bungkam? Malas
hendak memperkatakan Islam. Tidak ghairah hendak sebut hal-hal Islam atau
hal-hal perjuangan. Ini juga kerana bermotif nama dan kemasyhuran. Depan anak
isteri mana dapat nama atau kemasyhuran.
22. Adakah kita hantar anak belajar di satusatu
sekolah kerana mengharapkan didikan, tarbiah dan akhlak yang baik? Bukan kerana
jaminan sijil atau dapat kerja? Atau sebaliknya yakni kalau tidak ada sijil
atau tidak ada jaminan kerja, kita tidak hantar anak kita walaupun sekolah itu
baik didikannya? Ini juga tidak ikhlas.
23. Adakah kita menutup aurat kerana orang suruh
atau menutup aurat ini hanya di tempattempat yang tertentu sahaja? Atau di
majlis-majlis rasmi sahaja seperti majlis kematian. Atau menampakkan sebahagian
anggota yang terlarang atau pakaian terlalu ketat atau jarang? Atau bertudung
untuk bermegah-megah? Ini semua tidak ikhlas.
24. Seorang yang pernah kita beri bantuan kerana
dia patut menerima lantaran kemiskinan atau kesusahannya, kemudian dia cacatkan
hati kita, apakah kita terus memberikan bantuan itu? Kalau kita teruskan
memberi bantuan itu kepadanya, itu tanda ikhlas.
Cukuplah setakat ini contoh-contoh yang lumrah
berlaku di tengah-tengah kehidupan kita. Agar ia menjadi kayu pengukur sejauh
mana keikhlasan kita selama ini. Kita tentu ada penga-laman bersama dalam salah
satu hal-hal yang berlaku di atas. Kalau begitu ukurlah diri masing-masing,
apakah usaha-usaha, kerja-kerja dan amal ibadah sudah ikhlas atau belum?
Untuk mendapat ikhlas amat susah. Tetapi bila tidak
ada ikhlas, ertinya tidak ada roh amal. Tidak ada nyawa ibadah. Walaupun
manusia itu nampaknya hebat, di sisi Allah, tidak ada apa-apa nilai. Kosong.
Ibarat habaan mansura yakni habuk-habuk yang berterbangan, hilang begitu
sahaja. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah jadikan kami orang
yang ikhlas. Jadikan usaha kami kerana-Mu. Jangan diselit di hati kami
selain-Mu. Pimpinlah kami wahai Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Agar usaha-usaha kami tidak sia-sia. Amin. Ya Rabbal’alamin. Ya Mujibassailin,
Wahai Tuhan yang menunaikan segala permintaan orang yang meminta.”
Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas itu balasannya
ialah syurga seperti sabda Rasulullah SAW: Allah SWT berfirman, “Aku menyediakan bagi
hamba-hamba-Ku yang soleh (ikhlas), apa yang belum terlihat oleh mata dan belum
terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.” (Muttafaqun
‘Alaih)
No comments:
Post a Comment