Tuesday, 16 December 2014
Untuk berjaya dalam hidup, motivasi diri
boleh dikatakan suatu keperluan. Kita mesti tahu bagaimana untuk memotivasikan
diri kita. Kita juga perlu mempunyai semangat yang tinggi walau dalam keadaan
seteruk mana pun. Sesiapa yang kehilangan semangat ketika melalui situasi yang
sukar akan berdepan dengan kekalahan walaupun perjalanannya belum pun berakhir.
Persoalannya disini, bagaimana cara
untuk mendapatkan motivasi diri. Disini ada diberikan sedikit tips
motivasi diri yang
sedikit sebanyak diharap boleh membantu anda dalam mengharungi kesulitan
mahupun kesukaran dalam perjalanan kehidupan.Artikel motivasi ini
membincangkan tentang apa yang perlu ada dalam diri untuk sentiasa bersemangat
dalam mengejar cita-cita.
Tahu Tujuan
Tiada sumber motivasi yang lebih kuat
untuk anda berjaya dari tujuan anda melakukannya. Tujuan anda adalah inspirasi
terbaik untuk memberi perangsang dalam menghadapi kesulitan di kemudian hari.
Ia akan dapat membantu anda melakukan perkara-perkara yang dilihat
mustahil pada pandangan manusia normal. Bila anda fikir anda sudah tiada
semangat untuk meneruskan perjalanan, ingat balik tujuan anda melakukannya dan
motivasi itu akan kembali kepada anda serta merta.
Tetapkan Impian atau Matlamat.
Tujuan anda untuk berjaya merupakan
sumber motivasi yang
kuat tapi masih belum cukup untuk merealisasikan apa yang anda mahukan. Anda
perlu ada impian atau matlamat. Anda perlu bayangkan apa yang akan berlaku pada
anda apabila anda berjaya mencapai tujuan anda. Memiliki impian sangat penting
sebab sangat susah untuk bermotivasi jika anda tiada matlamat yang
khusus. Bayangkan pemain bola sepak. Adakah mereka akan bermotivasi jika
tiada pintu gol untuk dijaringkan? Mereka memerlukan matlamat. Begitu juga anda.
Matlamat atau impian yang ditetapkan mestilah cukup besar untuk
menginspirasikan anda. Ia harus realistik dan mencabar untuk mengeluarkan anda
dari zon selesa yang anda duduki sekarang ini.
Mempunyai Keinginan Yang Kuat
Untuk benar-benar mendapat motivasi diri
yang jitu, anda mesti mempunyai keinginan yang kuat. Ini akan membantu anda
ketika melalui situasi-situasi yang sulit dan memastikan anda berusaha untuk
melakukan prestasi yang terbaik walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika
anda berasa seperti keinginan anda semakin pudar, apa yang perlu anda lakukan
ialah untuk melihat kembali kepada impian dan matlamat anda. Ini akan
memberikan motivasi kepada diri anda dan meningkatkan lagi rasa keinginan anda.
Tetapkan Haluan Sendiri
Membandingkan diri anda dengan orang
lain biasanya akan mengurangkan keyakinan anda. Walaupun anda pada mulanya
bersemangat, lama-kelamaan anda mula terasa kekurangan diri jika dibandingkan
dengan orang lain. Elakkan ini terjadi kepada anda. Anda mempunyai matlamat
sendiri dan apa yang orang lain kecapi tidak perlu dibandingkan dengan diri
anda. Setiap orang mempunyai perjalanan hidup dan keadaan yang berbeza.
Membandingkan diri anda dengan orang lain adalah seperti membandingkan prestasi
seorang perenang dengan seorang pelari menggunakan standard masa yang sama.
Mereka berdua dalam situasi yang berbeza jadi ianya adalah tidak relevan untuk
membandingkan kedua-dua orang ini.
Berani Meneruskan Perjalanan
Apabila anda bertemu dengan cabaran
dalam perjalanan anda untuk berjaya, anda mungkin cenderung untuk menghentikan
perjalanan itu. Anda mungkin berfikiri bahawa ia terlalu sukar untuk
diteruskan. Tetapi, ini sebenarnya adalah saat dimana anda boleh melihat
perbezaan antara seorang yang menang ataupun seorang yang kalah. Meskipun kedua-duanya
menghadapi kesulitan yang sama, tetapi satu perkara yang membezakan adalah
keberanian untuk meneruskan perjalanan itu. Jika berhadapan dalam situasi yang
sukar, fokuskan pemikiran anda untuk meneruskan langkah kehadapan. Jangan
berfikir bagaimana untuk menyelesaikan perlumbaan atau berapa banyak lagi
cabaran yang akan ditempuhi. Tetapi, hanya fokus untuk mengambil langkah yang
seterusnya.
Lupakan Masa Silam
Percaya atau tidak, salah satu pemusnah motivasi diri anda adalah masa silam anda sendiri.
Ia boleh memberi beban yang berat diatas bahu yang perlu anda pikul. Walaupun
begitu, ia adalah sesuatu yang boleh anda tinggalkan. Anda mungkin membuat
kesalahan pada masa lalu. Anda mungkin telah mengecewakan orang lain dengan apa
yang anda lakukan. Tapi itu semua sudah berlalu. Ia adalah sesuatu yang tidak
dapat anda ubah lagi hakikatnya. Hari ini adalah hari yang baru dan anda
sentiasa mempunyai peluang untuk memulakan semula hari anda. Tidak kira seteruk
mana masa silam anda, masih ada masa depan yang cerah menanti jika anda berani
meneruskan perjalanan.
Sekian, semoga tips motivasi diri yang diberikan diatas boleh
membantu anda untuk mengecapi kejayaan dalam hidup. Tidak kira sesusah mana pun
cabaran yang dihadapi, teruskan usaha anda, berdoalah untuk mendapat yang
terbaik, dan bertawakal kepada Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment