Wednesday, 25 December 2013

Usolli..

Firman Allah taala:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

al-Mu’minun (ayat 1-2)

Apabila diteliti secara halusnya, keikhlasan kita untuk solat adalah sangat kurang sekali. Apa tidaknya, kita begitu cuai dengan rukun Islam ini. Wujudkah suatu roh dalam solat yang telah kita lakukan? Atau hati kita masih lagi berkeliaran ke sana dan ke mari  ketika jasad kita melakukan solat?

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Solatlah kamu sebagai mana aku solat”.

Perintah ini begitu ringkas tetapi mengandungi maksud yang amat mendalam… Jika diperhatikan, suruhan solat itu adalah umum, merangkumi bagaimana nabi solat, bila perlu untuk solat, siapa yang wajib solat, di mana perlu solat, apa persediaan untuk solat dan kenapa kita perlu solat.

Umumnya semua yang terpelajar dan insya Allah kita adalah terpelajar, memahami bahawa solat mempunyai cara-cara yang tersendiri walaupun dikalangan kita masih ramai lagi yang melengah-lengahkan waktu untuk solat. Hina sangatkah suruhan solat itu pada kita. Atau solat ini merupakan adat turun temurun yang dilakukan secara terpaksa. Allah taala tidak berkehendak sembahan dari manusia. Kuasa Allah taala tidak berkurang sedikit pun jika semua manusia melanggar segala perintahNya, malah kuasa Allah juga tidak bertambah pun sekiranya semua manusia taat dan patuh pada Allah.

Kerana Allah taala bersifat Maha Sempurna dan tiada permulaan dan juga tiada kesudahan.

Atau kita masih ragu-ragu kepada kewujudan suatu kuasa memerintah iaitu Tuhan semesta alam? Dan kita lebih cenderung kepada fahaman yang dibawa oleh Darwin iaitu alam semesta ini kekal dan terus kekal selama-lamanya. Tapi maaf untuk saudara yang mempunyai kecenderungan pemikiran yang sebegitu… kerana ilmu sains moden kini pun telah membuktikan wujudnya suatu campur tangan yang maha hebat dalam setiap kejadian dari sekecil-kecil kejadian seperti DNA kepada sebesar-besar kejadian seperti alam cakerawala yang begitu unik sekali dan membingungkan para saintis sekarang ini. Mustahil tiada campur tangan kuasa yang Maha Hebat dalam hal ini.

Apa lagi campur tangan tersebut kalau tidak Tuhan Yang Maha Berkuasa iaitu Allah taala.

Jadi solatlah kita semua dengan memahami erti dan makna setiap patah perkataan yang disebut secara tenang tanpa tergopoh-gapah ketika solat, membenarkan dan mengalu-alukan kedatangan hati ketika solat untuk mendapat ganjaran khusyuk, dan membuat persediaan yang sebaik mungkin walaupun secara berperingkat untuk mendalami ilmu fekah atau tatacara solat itu sendiri. Lakukan dengan ilmu kerana amal tanpa ilmu adalah sesat. Walau bagaimanapun, kesalahan yang tidak sengaja akibat belum mempunyai ilmu tentang hal tersebut masih diampunkan dengan syarat kita masih lagi ‘seorang pelajar’ yang setiasa mencari dan mendalami ilmu untuk membaiki setiap kelemahan yang ada dalam diri kita, insya Allah.

Wallaahu’alam.

No comments:

Post a Comment