Islamkah Aku
Penggabungan diri dengan agama Islam bukanlah secara warisan, bukan
secara hobi malah ia juga bukan penggabungan secara zahir sahaja.
Sebenarnya penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan dengan
ajaran Islam itu sendiri dengan cara berpegang teguh dengan seluruh ajaran
Islam serta menyesuaikan diri dengan Islam di segenap bidang kehidupan
dengan penuh kerelaan.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala:
Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan
di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi
saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu
pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada
umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).
(Surah Al-Hajj 22: Ayat 78).
Berpegang dengan akidah yang benar lagi murni adalah syarat pertama
bagi seseorang mengaku dirinya beragama Islam dan menjadikan Islam sebagai
cara hidupnya. Pegangan tersebut mestilah selari dengan apa yang terkandung
di dalam Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ia mestilah
beriman dengan apa yang telah diimani oleh orang-orang Islam terdahulu yang
terdiri dari angkatan Salafus-Saleh serta para Imam penyampai agama ini yang
telah diakui kebaikan, kebaktian serta ketakwaan mereka. Mereka ini
mempunyai kefahaman yang mendalam lagi bersih dalam urusan agama.
Ibadah di dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan
kerendahan kepada Allah dan ia juga adalah kemuncak betapa ia merasai
keagungan Tuhan yang disembah. Ia menjadi anak tangga pertatehan di antara
si hamba dengan Tuhannya. Ibadah ini juga memberi kesan yang mendalam di
dalam perhubungan manusia dengan makhluk lainnya. Begitu juga dengan
ibadah-ibadah dalam rukun Islam seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji
serta amalan-amalan lainnya yang dilaksanakan untuk mendapat keredaan Ilahi
dan dalam mengamalkan Syariat-Nya adalah termasuk dalam pengertian
‘ibadah. Bertitik tolak dari pengertian inilah Islam menetapkan supaya seluruh
hidup manusia dipelihara agar menjadi ‘ibadah dan taat kepada Allah s.w.t
seperti yang dinyatakan oleh Allah:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali
menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak
menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya
Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya,
dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi
Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
(Surah Al-Zariyat 51: Ayat 56-58 )
Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana
yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w tentang tujuan pengutusan baginda:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan
akhlak”.
1. Menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhat.
2. Memelihara pandangan.
3. Memelihara lidah.
4. Bersifat pemalu.
5. Sersifat lemah-lembut.
6. Bersifat benar.
7. Bersifat tawaduk.
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.
9. Bermurah hati.
Sebenarnya apabila saya telah menganut agama Islam, saya wajib menjadi
seorang pendukung risalah ini di dalam kehidupan bahkan saya wajib
menjadikan seluruh kehidupan saya mematuhi segala arahan risalah ini.
Maka apabila anutan saya terhadap Islam mewajibkan saya menjadi
Muslim di dalam sudut kejiwaan, akidah, ibadah dan akhlak maka kewajipan
yang sama juga menuntut saya berusaha menjadikan masyarakat yang saya
hidup di dalamnya sebagai masyakat muslim.
Adalah tidak memadai dengan saya menjadi muslim seorang diri sahaja
sedangkan orang-orang di sekeliling saya tidak dihiraukan, kerana antara
kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia (jika ia
telah benar-benar beriman) ialah ia merasai tanggungjawabnya terhadap orang
lain dengan mengajak dan menasihati mereka dengan Islam serta ghairah
mengambil berat ke atas mereka sebagai realisasi dari amaran Rasulullah:
“Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat
Islam maka ia bukan dari golongan mereka”.
(Hadith riwayat al- Baihaqi dalam “Shuab al-Iman”, at-Tabari, Abu Nua’im
dalam “Hilyah” dan al- Hakim.)
Bertitik tolak dari sinilah menyusulnya satu tanggungjawab ke atas saya,
iaitu tanggungjawab menegakkan masyarakat Islam dan tanggungjawab
menyampaikan Islam kepada masyarakat.
Di dalam kehidupan ini insan bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia
menang dan adakalahnya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang
berterusan. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut
menjemputnya.
Firman Allah:
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya
(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang
membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan
iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan
dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan
sebab kekotoran maksiat).
(Surah Asy-Syams 91: Ayat 7-10)
Keimanan saya dengan Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa
masa depan kelak ialah milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan
mampu untuk menyusun urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam
adalah satu-satunya manhaj atau cara hidup yang selaras dengan kehendak
fitrah manusia. Ia dapat mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.
Ruj: Apa Ertinya Saya Menganut Islam; Fathi Yakan
No comments:
Post a Comment