Haluanku..
PETUNJUK SEPANJANG JALAN
Umat manusia sekarang ini berada di tepi jurang kehancuran. Keadaan ini bukanlah berpunca dari ancaman maut yang sedang tergantung di atas ubun-ubunnya. Ancaman maut itu adalah satu gejala penyakit sahaja dan bukanlah ia penyakit itu sendiri. Sebenarnya punca utama dari keadaan ini ialah bengkrap dan melesetnya umat manusia itu di bidang “nilai” yang menjadi pelindung hidupnya. Hal ini terlalu menonjol di negara-negara blok Barat yang sememangnya sudah tidak punya apa pun “Nilai” yang dapat diberinya kepada umat manusia; malah tidak punya satu apa pun yang dapat memberi ketenangan hatinya sendiri, untuk merasa perlu hidup lebih lama lagi; setelah sistem “demokrasi” nampaknya berakhir dengan kegagalan dan kebengkrapan, sebab ternyata ia sudah mulai meniru – dengan secara beransur-ansur – dari sistem negara-negara blok Timur, khususnya di bidang ekonomi, dengan memakai nama sosialisme!
Demikian juga halnya di negara-negara blok Timur itu sendiri. Teori-teori yang bercorak kolektif, terutamanya Marxisme yang telah berhasil menarik perhatian sebahagian besar umat manusia di negara-negara blok Timur itu – dan malah di negara-negara blok Barat juga – dengan sifatnya sebagai suatu isme yang memakai cap akidah juga telah mulai mundur teratur sekali dari segi ‘teori’ hingga hampirlah sekarang ini lingkungannya terbatas di dalam soal-soal ‘sistem kenegaraan’ sahaja dan sudah menyeleweng begitu jauh dari dasar isme yang asal dasar-dasar pokok yang pada umumnya bertentangan dengan fitrah umat manusia dan tidak mungkin berkembang kecuali di dalam masyarakat yang mundur, atau pun masyarakat yang begitu lama menderita di bawah tekanan sistem pemerintahan diktator. Hatta di dalam masyarakat seperti itu sendiri pun – telah mulai nampak kegagalan di bidang benda dan ekonomi; iaitu bidang yang paling dibanggakan oleh sistem itu sendiri. Lihat sahaja Russia, negara model dari sistem kolektif itu, telah mulai diancam bahaya kebuluran yang hampir sama dengan keadaan di zaman Tzar dahulu; hingga negara itu telah terpaksa mengimpot gandum dan bahan-bahan makanan serta menjual emas simpanannya untuk membeli bahan makanan itu. Ini berpunca daripada kegagalan sistem pertanian kolektif dan sistem ekonomi yang bertentangan dengan fitrah umat manusia.
Oleh itu, maka umat manusia mestilah diberikan pimpinan baru! Sesungguhnya peranan pimpinan manusia barat ke atas umat manusia ini telah hampir tamat. Ini bukanlah kerana tamaddun Barat itu telah bankrap dan dari segi benda atau telah lemah dari segi ekonomi dan kekuatan tentera tetapi sebenarnya kerana sistem Barat itu telah tamat tempohnya sebab ia tidak lagi mempunyai stok “nilai” yang melayakkan dia memegang pimpinan. Umat manusia perlukan suatu pimpinan yang mampu menyambung terus tamadun kebendaan seperti yang telah dapat dicapai sekarang melalui tamadun cara Eropah itu, juga yang mampu memberikan nilai baru yang lengkap, setanding dengan yang telah sedia ada dan telah popular di dalam masyarakat manusia, juga yang mempunyai program yang kemas kini, positif dan praktikal.
Hanya Islam sahajalah yang mempunyai nilai-nilai dan program yang sangat diperlukan itu. Kemajuan ilmu pengetahuan telah pun menunaikan tugasnya. Sejak dari zaman kebangkitan di dalam abad keenam belas Masihi dan telah mencapai puncak kemajuannya di dalam abad ke lapan belas dan abad kesembilan belas. Sesudah itu tamadun Eropah sudah kehabisan bahan simpanan, untuk disumbangkan kepada umat manusia. Demikian juga faham-faham “kebangsaan” dan “perkauman” yang telah muncul pada ketika itu, dan beberapa buah negara gabungan telah lahir dan telah memberikan sumbangannya masing-masing kepada umat manusia tapi fahaman-fahaman “kebangsaan” dan “perkauman” itu sudah tidak mampu memberikan apa-apa pun kepada umat manusia, kerana sudah kehabisan bahan simpanan…
Pada akhirnya sistem-sistem yang berdasarkan kebebasan individu dengan disusuli pula oleh sistem kolektif telah selesai peranannya dan berakhir dengan kegagalan juga. Sekarang tibalah pula giliran ISLAM dan peranan “umat” pada saat yang paling genting ini memang sudah tiba giliran Islam pula. Islam yang tidak memandang remeh dan rendah kepada hasil ciptaan sains yang dilakukan oleh umat manusia sebelum ini dan akan terus dilakukan oleh umat manusia di sepanjang zaman kerana Islam memandang kemajuan di bidang ciptaan sains itu sebagai salah satu tugas utama manusia sejak Allah melantik umat manusia ini menjadi “khalifah” dan pemerintah di bumi ini, dan di bawah syarat-syarat tertentu pula, Islam memandangnya sebagai sejenis ibadat kepada Allah, dan sebagai sejenis pelaksanaan tujuan hidup manusia:
Maksudnya: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak jadikan seorang khalifah di muka bumi. “
(Al-Baqarah: 30)
Maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(Adz-Dzariat: 5)
Ruj: Petunjuk Sepanjang Jalan; Syed Qutb
No comments:
Post a Comment