KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU!
Apabila
ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,
terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku?
Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari
seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah
hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah
kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.
Paling
malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji.
Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali
diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah,
kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa
kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan
sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…
Namun
untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang
memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang
Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih
sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah,
akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu
buta?
Orang
yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan
Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru,
hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa
yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah
bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan
yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang
terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah
kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang
mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah
apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Diantara
hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi
hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab
ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu
yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi,
miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak,
tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.
Jadi,
apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan,
kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu
sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu,
menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia
tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan
batasan syariat.
Ujian
juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar.
Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti
berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta
kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati
kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah
kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan
boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan
Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
Dengan
ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan
dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang
kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah,
sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana
berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Bila
kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham
itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya,
seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada
dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya, apabila kita
gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan
ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk
menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah
SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan,
maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik
dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada
hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka
kepada Allah.Tapi bagi anti diuji, tidak akan
dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari
dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan
para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah
pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah
kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar
melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:
I)
Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan
segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah,
baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat
masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha
Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih
besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain
apabila ditimpa ujian.
II)
Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah
yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang
berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah
berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu
pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau
yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
III)
Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah
hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah,
maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya…
insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?
Ya,
Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru,
ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui
ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin
besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh
kepimpinannya.
No comments:
Post a Comment