Monday, 5 January 2015
Saturday, 3 January 2015
Friday, 2 January 2015
Thursday, 1 January 2015
KENALI TUHAN YANG MENGUJI MU!
Apabila
ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa,
terdetik juga kata di dalam hati, “apakah Tuhan masih sayangkan aku?
Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ” Subhanallah, tanpa disedari
seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah
hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun, itulah
kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.
Paling
malang, manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji.
Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali
diuji… Innalillah wa inna ilahihi rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah,
kepadaNya kami akan dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa
kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan
sekali-kali menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…
Namun
untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang
memberi ujian itu. Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang
Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih
sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah,
akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu
buta?
Orang
yang mengenal kasih-sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan
(takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan
Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru,
hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa
yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah
bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan
yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang
terbaik, cuma kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah
kita tersedar, ya Allah mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang
mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah
apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Diantara
hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi
hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab
ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu
yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi,
miskin dan lail-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak,
tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.
Jadi,
apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan,
kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu
sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu,
menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia
tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan
batasan syariat.
Ujian
juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar.
Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti
berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta
kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati
kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah
kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru, Allah berfirman:
“…Dan
boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan
Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
Dengan
ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan
dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang
kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seorang itu kenal Allah,
sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana
berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Bila
kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham
itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya,
seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada
dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya, apabila kita
gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan
ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk
menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah
SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan,
maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik
dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada
hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka
kepada Allah.Tapi bagi anti diuji, tidak akan
dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari
dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan
para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah
pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba Allah
kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar
melainkan lakukanlah tiga langkah ini apabila kita diuji:
I)
Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan
segera mendekatkan diri kepada Allah. Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah,
baginda akan terus bangun mendirikan solat dua rakaat. Baginda tidak melihat
masalah yang besar tetapi cepat-cepat merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha
Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi Allah yang memberinya jauh lebih
besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah sebelum mencari yang lain-lain
apabila ditimpa ujian.
II)
Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah
yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran. Yang penting apa yang
berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang berlaku diluar diri kita. Allah
berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan yang pedih, anggaplah itu
pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit hati kita. Ya, jika limau
yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang yang bijaksana.
III)
Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah
hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Bila baik sangka kepada Allah,
maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya. Apabila hampir kepadanya…
insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah DIA Tuhan yang Maha Baik?
Ya,
Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Ingat itu. Justeru,
ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang besar itu dikenali melalui
ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin
besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh
kepimpinannya.
HADITH DHAIF
بسم الله الرحمن الرحيم …
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …
MUQADDIMAH
Pokok perbincangan kami di dalam risalah ini ialah tentang hadith dhaif kerana sejak kebelakangan ini ada pihak yang sering mempertikaikan hadith dhaif sehingga mereka menganggap bahawa beramal dengan hadith dhaif adalah perkara mungkar dan ia adalah hadith yang dusta (maudhu’). Hadith dhaif ini hanya tidak memenuhi syarat-syarat hadith sahih dan hasan. Pengertian ini tidak membawa maksud bahawa tidak boleh beramal dengan hadith dhaif.
DEFINISI HADITH DHAIF:
Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. (منحة المغيث) Al-Hafiz Ibnu Solah telah mentakrifkan hadith dhaif dengan katanya bahawa: “setiap hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadith hasan, maka itulah hadith dhaif”. (139(تدريب الراوي :ص)
Hadith yang makbul (yang diterima) ialah hadith yang mencukupi enam syarat iaitu:
1) Sanad yang bersambung
2) Para perawinya bersifat adil (mempunyai ketaqwaan dan menjauhkan diri daripada kefasikan)
3) Para perawinya dhabit (pengingat melalui catatan dan hafazan)
4) Tiada syaz (seorang perawi yang tidak menyalahi dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai daripadanya)
5) Tiada illah (tiada didapati kecacatan pada matan dan sanad hadith)
6) Ada sanad yang menyokong atau menguatkan ketika diperlukan. (14: (مصطلح الحديث)
PEMBAHAGIAN HADITH DHAIF
Hadith dhaif secara umum terbahagi kepada tiga iaitu:
1) Hadith yang mana kedhaifannya boleh ditampung dengan muafakat para ulama’ kerana dikuatkan oleh kemasyhurannya yang datang daripada riwayat yang lain ataupun ianya disokong oleh sokongan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila perawinya adalah seorang yang lemah hafazan atau kedhaifannya disebabkan ianya diriwayatkan secara mursal (gugur sahabat nabi di dalam sanad), ataupun tidak diketahui keadilan perawinya, maka hadith ini tarafnya naik ke peringkat hadith hasan li gharih (hadith menjadi kuat disebabkan ada sokongan). Maka jadilah ia hadith yang diterima pakai untuk dibuat sebagai hujah sehingga di dalam hukum hakam. Hadith ini juga dinamakan hadith mudho’af.
2) Hadith yang mana kedhaifannya tidak boleh ditampung walaupun jalan-jalan periwayatannya banyak. Ia dinamakan hadith WAAHI (bersangatan dhaif). Ini disebabkan perawinya seorang fasik atau dituduh sebagai pembohong.
3) Hadith waahi tersebut yang mempunyai sokongan daripada riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik kepada peringkat yang lebih tinggi melebihi martabat hadith munkar (hadith yang bersangatan lemah dan hadith yang tiada asal). Pada ketika ini diharuskan beramal dengannya di dalam soal-soal fadhilah (kelebihan) amalan-amalan, tetapi tidak boleh diamalkan di dalam soal aqidah dan hukum hakam. Sesetengah ulama’ menyatakan juga bahawa tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran Al-Quran.
(11-10: (وظيفة الحديث الضعيف)
HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH DHAIF
Para ulama’ telah berselisih pada keharusan beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:
Pendapat pertama
Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk ulasan pendapat yang pertama.
Pendapat kedua
Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.
Pendapat ketiga
Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam kitab beliau ‘Qawaid Al-Tahdis’ m/s 113: “”هذا هو المعتمد عند الأئمة Ertinya: “Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam hadith”. (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه
Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul Al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif itu ada tiga:
1) Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan. Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.
2) Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di dalam asal (Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias) yang umum.
3) Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan”.
ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA
1) Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35: (وظيفة الحديث الضعيف.
2) Begitu juga Imam Bukhari memasukkan hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk ataupun sebagai hadith “Mutaba’ah” (hadith yang dijadikan sokongan bagi hadith-hadith sahih).
3) Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim, Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu, memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.
4) Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih beliau sebagai hadith ‘Mutaba’ah’ (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula, untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam ‘Maqalatnya’ pada kisah Khalid bin Walid r.d.h.
5) Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)
6) Setengah ulama’ menerangkan maksud sebenar perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi عارضة الأحوذي(وظيفة الحديث الضعيف: 15)
ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA
1) Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: “Hadith dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid” telah ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: “Sesungguhnya perkataan kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya dhaif hasan”. (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)
Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil, hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)
Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim di dalam kitabnya اعلام الموقعين .
ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA
1) Para ulama’ dari kalangan muhaddithin dan fuqaha’ dan selain mereka itu berkata: “Harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap sesuatu selama hadith itu bukan mauduk”. Adapun hukum-hukum seperti halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب) meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:
“من بلغه عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك”
Ertinya: “Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu”.
2) Dengan itu penerimaan hadith daif yang diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama’ seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi menukilkan daripada ulama’ bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)
3) Segelintir masyarakat mempertikaikan orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh para ulama’ hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama’ sufi pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama’ besar dalam bidang hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah pendirian yang diambil oleh ulama’ tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)
Peringatan:
1) Atas pendapat ketiga inilah, periwayatan Ibnu Ishak terutama di dalam sirah dan maghazi (sejarah kebangkitan awal Islam, pemerintahan dan peperangan) diterima pakai oleh ulama’ hadith, sekalipun beliau seorang perawi yang dhaif. Ini kerana sepertimana yang telah maklum bahawa periwayatan seseorang yang dhaif itu diterima pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hukum. Atas alasan inilah, Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya manjadikan riwayat Ibnu Ishak sebagai Istisyhad (penyokong kepada hadith bab) (dan memasukkan juga di dalam terjemah bab (tajuk). Imam Muslim didalam kitab sahihnya meletakkan riwayat Ibnu Ishak sebagai mutaba’ah (penguat kepada hadith bab), di mana Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pula mengeluarkan hadith daripada Ibnu Ishak di dalam sunan-sunan mereka.
Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat periwayatan beliau (Ibnu Ishak) menyalahi dengan apa yang diriwayatkan oleh imam yang muktabar, maka periwayatan imam itulah yang mesti diutamakan. Ini bukanlah bererti Ibnu Ishak berdusta dan sengaja mereka-rekakan cerita seperti yang disangkakan oleh mereka yang tidak memahami ilmu hadith, tetapi beliau hanyalah seorang perawi yang mengambil riwayat-riwayatnya daripada orang lain. Malangnya sesetengah pihak berani menghukum bahawa tidak harus sama sekali meriwayatkan daripada Ibnu Ishak, sekalipun berkenaan dengan sirah dan maghazi dengan alasan bahawa beliau pendusta lagi bermazhab syiah. Sekiranya benar apa yang dikatakan itu, nescaya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pun turut dikira sebagai pendusta. Ini kerana meriwayatkan daripada seseorang yang diyakini sebagai pendusta bererti menyebarkan perkara dusta dan mengiakannya.
Lebih malang lagi sehingga ada yang meletakkan kedudukan sirah Ibnu Ishak dan sirah Ibnu Hisyam supaya di masukkan ke dalam tong sampah. Ini tidak lain melainkan disebabkan tunpulnya kefahaman tentang ilmu hadith atau menganggap diri mereka lebih berkaliber daripada imam-imam yang muktabar dalam bidang hadith.
2) Abul Fadl Abdullah bin Al-Saddiq Al-Ghumari menyebut perkataan para ulama’ feqah bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan di dalam hukum-hakam bukanlah bersifat umum seperti yang difahami kebanyakan orang. Ini kerana apabila anda meneliti pada hadith-hadith yang dipakai oleh imam-imam Mujtahidin secara permuafakatan atau perseorangan anda akan mendapati hadith-hadith dhaif di dalam hukum-hakam jumlahnya mencapai separuh atau lebih. Bahkan anda akan dapati di dalamnya hadith munkar, hadith yang gugur perawinya dan hadith yang hampir kepada taraf hadith maudhu’ (yang direka-reka).
HUKUM MERIWAYATKAN HADITH DHAIF
1) Ulama’ mengharuskan mempermudah-mudahkan pada sanad hadith dhaif, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menyatakan kedhaifannya. Oleh kerana itu hadith dhaif boleh diterima pakai di dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan, menakutkan, peradaban, kisah tauladan bukan di dalam perkara aqidah seperti sifat Allah dan hukum seperti halal haram. (تقريب النووي: ص 108)
2) Ibnu Abdul Barri ada menyatakan hadith yang berkaitan dengan fadhilat maka kami tidak perlukan orang (perawi) yang layak untuk dijadikan hujah. (tidak semestinya perawi itu thiqah).
3) Ibnu Mahdi menyebutkan dalam kitabnya Al-Madkhal: “Apabila kami meriwayatkan daripada nabi s.a.w tentang halal haram dan hukum- hakam maka kami mengetatkan sanad-sanadnya dan kami akan membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijal (nama perawi yang terdapat dalam sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran pahala dan seksa maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami bertolak ansur”.
CARA MERIWAYATKAN HADITH DHAIF
Walaupun jumhur mengharuskan meriwayatkan hadith dhaif, namun perlu di ingatkan mereka menyatakan bahawa tidak harus menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasullalah s.aw” ketika meriwayatkan hadith dhaif ini kerana untuk mengelakkan daripada menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak disabdakannya bahkan hendaklah digunakan kalimah yang menunjukkan ketidakpastian (tamridh), seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda” dan seumpamanya. (تقريب النووي: ص 22)
HADITH MURSAL
Hadith Mursal ialah hadith yang didapati gugur seorang perawi (sahabat) pada sanadnya yakni hadith yang disandarkan kepada nabi s.a.w oleh tabi’in yang tidak mendengar sendiri daripada nabi s.a.w, mungkin ia meriwayatkan hadith dari sahabat nabi atau ia meriwayat daripada orang lain. Hadith mursal ini tergolong daripada hadith-hadis dhaif kerana tiada padanya sanad yang bersambung. (مصطلح الحديث: ص 22)
PENERIMAAN HADITH MURSAL DISISI PARA ULAMA MUJTAHIDIN
Pendapat yang dipilih bahawa hadith Mursal sahabat (seseorang sahabat menggugurkan sahabat yang lain dalam periwayatan hadith) adalah diterima secara ijmak. Adapun hadith Mursal kurun kedua (tabi’in) dan kurun ketiga(tabi’-tabi’in) ianya diterima dan boleh berhujah pada hukum-hakam di sisi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal mengikut riwayat yang masyhur daripada kedua-duanya (Imam Malik dan Imam Ahmad). Mursal kurun kedua yang diriwayatkan oleh Said bin Al-Musayyab, Sya’bi dan Hasan Al-Basri adalah diterima sama sekali (tiada perselisihan pendapat). Adapun di sisi Imam Syafie hadith Mursal diterima apabila terdapat lima perkara:
1) Terdapat riwayat lain yang bersambung sanadnya.
2) Terdapat juga hadith mursal yang lain dengan perawi-perawi yang tersendiri.
3) Terdapat perkataan sahabat yang menyokong.
4) Disokong oleh kebanyakan ulama.
5) Diketahui bahawa ianya diriwayatkan secara mursal daripada perawi yang adil.
(منحة المغيث: ص 47)
Contoh hadith mursal yang diterima oleh Imam Syafie:
حدثنا قتيبة أخبرنا عبد الله بن زيد بن أسلم عن أبيه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من نام عن وتره فليصل إذا أصبح
Ertinya: “sesiapa yang tertidur serta tertinggal daripada melakukan solat witir maka hendaklah ia sembahyang (qadha) apabila berpagi-pagi ia (selepas sembahyang subuh).
Keterangan: Imam Syafie berdalil dengan hadith ini walaupun ia adalah hadith mursal yang mana dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri. Hadith Abu Sa’id tersebut adalah hadith yang bersambung sanadnya dan dinyatakan oleh Imam Abu Daud sebagai sahih iaitu:
حدثنا محمود بن غيلان أخبرنا وكيع أخبرنا عبد الرحمن بن زيد بن أسلم عن أبيه عن عطاء بن يسار عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من نام عن الوتر أو نسيه فليصل إذا ذكر وإذا استيقظ
Ertinya: “sesiapa tertidur daripada mengerjakan witir atau ia terlupa maka hendaklah sembahyang tatkala ia ingat dan tersedar”. ((تحفة الآحوذي شرح سنن الترمذي: ج 2: ص 569
KAEDAH MENGHUKUM SAHIH DAN DHAIF PADA SESEBUAH HADITH
1) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith merupakan satu bidang ilmu yang khusus di mana ulama’ usul hadith dan juga ulama Jarhu dan Ta’dil (ulama’ pengkaji sanad atau pakar pengesah hadith) telah pun menyusun ilmu tersebut semenjak beberapa kurun yang lalu. Di sini tidak mungkin kami menyatakan keseluruhan bidang ilmu itu secara terperinci. Tetapi, kami ingin menyentuh beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.
2) Ramai yang beranggapan bahawa hadith sahih hanya dikumpulkan di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja tidak di dalam kitab-kitab hadith yang lain. Ini kaedah yang salah yang digunakan oleh kebanyakan orang. Kesahihan sesebuah hadith boleh ditentukan melalui kajian terhadap sanad-sanadnya. Imam Bukhari berkata: “bahawa daku tidak dapat mengumpulkan semua hadith-hadith sahih di dalam kitabku dan aku terpaksa meninggalkan beberapa banyak hadith-hadith sahih supaya dapat dielakkan daripada menjadi panjang”. Pengakuan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi hadith-hadith yang sahih yang tidak termuat di dalam Sahih Bukhari dan berkemungkinan besar terdapat hadith-hadith yang tinggi sanadnya daripada sanad hadith Sahih Bukhari.
Syeikh Abdul Rashid Nukmani menaqalkan di dalam kitabnya “ما تمس إليه الحاجة”, bahawa sanad bagi sesetengah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah terlebih tinggi daripada sanad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sepertimana yang disepakati oleh ulama’ hadith. Oleh kerana itu, Sahih Bukhari diberi gelaran أصح الكتب بعد كتاب الله adalah dengan mengambil kira dengan keseluruhan hadith bukan setiap hadith.
Imam Muslim berkata: “ليس كل صحيح وضعته هنا، إنما وضعته هنا ما اجتمعوا عليه”. Ertinya: “bukanlah aku dapat meletakkan semua hadith sahih di sini (dalam kitab Sahih Muslim), hanya aku memuatkan hadith-hadith sahih yang disepakati tentang kesahihannya”.
3) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith adalah satu kajian yang halus memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam. Hanya mereka yang mencapai darjat ijtihad dalam bidang ini sahaja layak mengkaji dan menentukan kesahihan atau kedhaifan sesebuah hadith. Menentukan sesuatu hadith samada taraf sahih atau hasan atau dhaif berdasarkan pengamatan zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad bukan berdasarkan hakikatnya kerana yang sebenar hanya Allah s.w.t.yang mengetahui. Oleh kerana itu ulama hadis menyatakan bahawa mungkin ada di antara hadith sahih pada hakikatnya ianya adalah hadith dhaif dan beberapa banyak hadith dhaif berkemungkinan besar pada hakikatnya ianya adalah sahih. Oleh itu keyakinan terhadap mutu hadith berdasarkan ijtihad (pengamatan yang zahir) (أوجز المسالك: ج 1: ص 228)
4) Periwayatan hadith diambil kira berdasarkan kepada kejujuran (thiqah) dan amanah perawi bukan berdasarkan kepada mazhabnya seperti Syiah, Rafidah, Murjeah, Muktazilah dan lain-lain. Berapa ramai di kalangan perawi-perawi yang bermazhab Syiah, Khawarij dan lain di mana Imam Bukhari dan Muslim berbangga menyebutkan nama-nama mereka dalam sanad mereka berdua dan meriwayatkan hadith daripada mereka di dalam kitab sahih keduanya (ميزان الجرح والتعديل: ص 34: محمد جمال الدين القاسمي )
5) Kebanyakan perawi yang kepercayaaan atau dipercayainya (thiqah) meriwayatkan daripada perawi-perawi yang dhaif seperti Sufyan Al-Thauri dan Syu’bah dan selain mereka. Syu’bah berkata sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith kepada kamu melainkan hanya daripada orang-orang yang kepercayaan (thiqah) neccaya aku tidak akan meriwayatkan kepada kamu melainkan daripada beberapa orang sahaja. Yahya Bin Al-Qattan berkata; “Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada beberapa orang yang aku redha (setuju) nescaya aku tidak boleh meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada lima orang sahaja atau seumpamanya” (شرح علل الترميذي: 29 ) Menurut ulama usul hadith apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayat hadith yang diambil daripada perawi yang bertaraf dhaif maka ini bererti dia menganggap perawi itu bertaraf adil.
(وظيفة الحديث الضعيف: 18)
6) Terkadang wujud perselisihan ulama terhadap sesebuah hadis atau seseorang perawi tentang sahih dan dhaif atau thiqah dan tidak thiqah. Persoalannya pendapat yang manakah yang perlu ditarjih(diutamakan), maka dengan itu Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi ada mengemukakan tiga pendapat di dalam kitabnya الأجوبة الفاضلة untuk menghuraikan perkara tersebut :-
i)Apabila didapati seseorang yang memudahkan pentashihan hadith sementara yang lain pula amat berhati-hati, maka pendapat yang mempunyai sikap berhati-hati akan ditarjihkan. Contohnya Hakim mentashihkan suatu hadith dan Hafiz Zahabi pula mentad’ifkan hadith itu. Maka pendapat Imam Zahabi akan diutamakan kerana Imam Hakim digelar sebagai (متساهل في الحديث) yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith. Begitu juga Ibnu Hibban memberi pengakuan thiqah terhadap seorang perawi sementara ada tokoh lain yang lebih berwibawa pula menganggap tidak thiqah, maka pendapat Ibnu Hibban ditolak kerana beliau memasukkan perawi yang majhul kedalam senarai thiqahnya.
ii)Salah seorang diantara dua orang muhaddith mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadith (تشدد) sementara seorang lagi mempunyai sikap sederhana (معتدل). Maka pendapat yang sederhana itu akan ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyaddid sementara Ibnu Hajar dan Zahabi kedua-duanya mu’tadil maka Imam Ibnu Hajar dan Imam Zahabi diutamakan.
Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa ada empat generasi (طبقات) di kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad (أئمة الجرح والتعديل). Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyaddid (bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu’tadil (bersikap sederhana) pada tabaqat (generasi) itu.
i. Tabaqat pertama Syukbah dan Sufyan Al-Thauri. Syu’bah adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
ii.Tabaqat kedua Yahya Bin Said Al-Qattan dan Abdurrahman Bin Mahdi. Maka Yahya adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
iii.Tabaqat ketiga Yahya Bin Ma’in dan Ali Bin Al- Madini. Maka Yahya Bin Ma’in adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
iv.Tabaqat yang keempat Ibnu Abi Hatim dan Imam Bukhari. Ibnu Abi Hatim adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.
Oleh demikian itu apabila didapati perselisihan di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul yang sederhana atau pertengahan (متوسط) dan meninggalkan qaul yang tasyaddud. Syeik Abdul Haiyi Lakhnawi berkata kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Ibnu Jauzi, Hafiz Saghani dan Ibnu Taimiyah dianggap mutasyaddid dan Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz Zahabi, Hafiz Iraqi dan Hafiz Zaila’i dianggap mutawassit atau mu’tadil dan pendapat mereka ini akan diutamakan.
Meneliti dalil-dalil bagi dua pihak dan mengutamakan qaul yang mempunyai dalil yang kuat sedangkan kebolehan meneliti tidak ada pada setiap orang.
7) Hadith-hadith yang ditashihkan oleh ulama’ hadith dan feqah yang muktabar lagi yang terdahulu itu tidak akan jadi dhaif kerana mencelahi perawi daif kemudian daripada mereka itu. Maka pentashihan hadith yang dibuat oleh fuqahak (Imam-Imam Mujtahid) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihannya yang dibuat oleh ulama’ hadith. Contohnya tersebut di dalam Sunan Tirmizi yang berbunyi:
حدثنا يحي بن موسى أخبرنا أبو معاوية أخبرنا خالد بن إياس عن صالح مولى التوأمة عن أبي هريرة قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم ينهض في الصلاة على صدور قدميه.
Ertinya: “Adalah Nabi s.a.w bangun berdiri (qiyam) di dalam sembahyang diatas kedua hujung jejari kakinya”.
Hadith ini dhaif di sisi Imam Tirmizi kerana terdapat Khalid bin Iyaas yang mana beliau adalah perawi yang dhaif. Akan tetapi hadis ini dianggap sahih di sisi Imam Abu Hanifah kerana tidak didapati Khalid bin Iyaas tersebut di dalam sanadnya.
8) Hadith dhaif tidak semestinya ditolak bulat-bulat kerana ianya boleh mencapai darjat hasan dan menjadi makbul sekiranya jalan periwayatannya berbilang-bilang sepertimana Mulla Ali Al-Qari berkata: “وتعدد الطرق يبلغ الحديث الضعيف إلى حد الحسن” bermaksud: “hadith boleh mencapai darjat hasan (hasan li ghairihi) dengan banyak jalan periwayatan”. Demikian juga tersebut di dalam شرح النخبة m/s 24, ((والضعيف أن تعددت طرقه أو تأيد بما يرجح قبوله فهو الحسن لغيره )) ertinya: ”sekiranya hadith dhaif berbilang-bilang periwayatan atau dikuatkan dengan hadith yang terlebih kuat penerimaannya maka ia menjadi hasan li ghairihi“.
9) حديث ضعيف مؤيد بالتعامل iaitu hadith dhaif yang disokong oleh amalan sahabat dan tabi’in. Apabila amalan mereka itu bertepatan dengan hadith dhaif maka dengan sendiri hadith dhaif itu menjadi hadith yang layak diamalkan dan dibuat hujah. Sebagai contoh:
(هو الطهور ماؤه والحل ميتته، القاتل لا يرث، لا وصية لوارث)
Ertinya: “Ianya (air laut) adalah suci airnya dan halal bangkainya. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Tidak boleh berwasiat untuk orang yang menerima harta pusaka”,
Hadith-Hadith ini diakui dhaif oleh kebanyakan muhaddithin walaupun begitu ianya boleh diterima untuk dijadikan dalil (قابل للإستدلال) kerana didapati ramai sahabat dan tabein beramal dengan hadith itu.
Telah berkata Ibnu Abdul Barri di dalam kitabnya الاستذكار ketika menghikayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa Imam Bukhari telah menghukum sahih Hadith Al-bahr (هو الطهور ماؤه والحل ميتته) sedangkan ahli hadith tidak mentashih sanad seperti ini tetapi hadith itu adalah sahih disisiku kerana ulama’ telah menerimanya dengan secara qabul (penerimaan berterusan). Sesetengah ulama’ menghukumkan kesahihan mengenai sesebuah hadith apabila ada penerimaan yang berterusan daripada orang ramai sekalipun sanadnya tidak sahih. Berkata Al-Ustaz Al-Isfirayini: “Dikenali kesahihan hadith apabila masyhur di sisi ulama’ hadith tanpa sebarang penafian daripada mereka itu”. Hadith yang diterima oleh ulama’ secara berterusan maka hadith itu termasuk di dalam hadith makbul sekalipun tidak memenuhi syarat sahih kerana ummah tidak berhimpun dalam perkara kesesatan. (وظيفة الحديث الضعيف: إمام محمد زكي إبراهيم: ص 27-28)
KESIMPULAN
Menerima pakai hadith dhaif dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan dan menakutkan, soal adab, kisah tauladan, nasihat-nasihat dan seumpamanya adalah dibolehkan. Perkara ini disepakati oleh ulama’ Muhaddithin.Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama’ bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhaif.Penerimaan hadith dhaif dalam perkara-perkara terbabit adalah disyaratkan jangan terlampau kuat kedhaifannya dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih.Perlu mematuhi kaedah di sisi ulama’ hadith yang berlandaskan pentashihan dan pendhaifan hadith.Jangan mengambil sikap terlalu mudah menolak hadith dhaif sedangkan ulama’-ulama’ yang mu’tabar sudahpun mengambil pendirian dan sikap yang sederhana mengenai menerima dan beramal dengan hadith dhaif.
Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.
Sunday, 21 December 2014
KISAH LUKMAN DALAM AL-QURAN (12-19)
Beberapa Hikmah yang Dinibahkan kepada lukman adalah seperti berikut;
Beberapa Hikmah yang Dinibahkan kepada lukman adalah seperti berikut;
1. “Wahai anak kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk meninggalkan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah SWT tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah SWT. Takutlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3. “Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana kurniaan-Nya. Orang yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmutetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya adalahTAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima kemulian dari Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku! Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
14. “Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan janganlah mensia-siakan hartamu.”
16. “Wahai anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamudan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap kejadian dan urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau mempunyai dua pilihan di antara takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh sesak dengan makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh anggota tubuhmu daripada beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa danmusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka terhadap ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu dan ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan mahupun perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT, dia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir biji sawi terpendam di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu, zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana engkau mempunyaijiran yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih berat daripada hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada kebaikan yang amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya yang penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah SWT bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa yang belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu dan kebaikanmu terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWTlebih mendekatkan diri daripada mulia dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepada-Nya.Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami untuk berfikir dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
Saturday, 20 December 2014
PANDUAN
BAGAIMANA MENGUKUR KEIKHLASAN
Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh amal atau
jiwa ibadah. Ia jadi penentu apakah amal ibadah kita diterima atau ditolak yang
mana bila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilaian di sisi Allah
atau tidak ada harganya lagi. Sebaliknya kalau ikhlas dalam beramal, Allah
terima dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.
Bagaimanakah yang dikatakan ikhlas ini jadi
penentu? Amal ibadah ini umpama seorang manusia. Bila nyawa (roh) sudah tidak
ada, ia akan jadi bangkai. Bangkai mesti dibuang ke kubur kerana nilai
kemanusiaannya sudah tidak ada lagi di waktu itu. Dia tidak layak lagi bergaul
dengan orang yang hidup. Walaupun dia seorang ratu cantik, orang terpaksa buang
juga kerana ia akan jadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah.
Begitulah dengan amal ibadah kita ini. Kalau tidak
ada roh-nya atau tidak ada jiwanya, yakni tidak ikhlas, Allah anggap seperti
bangkai yang kotor lagi busuk, yang tidak ada harganya. Tidak layak untuk Allah
menerimanya dan tidak layak diberi ganjaran pahala. Bahkan akan dicampak balik
ke muka kita sekalipun seluruh makhluk-makhluk Allah di langit dan di bumi
semuanya memuji-muji amal ibadahnya cantik, baik dan bernilai. Manusia hanya
menilai dengan mata lahir sahaja maka yang kelihatan, amal ibadahnya itu
banyak, cantik dan berakhlak. Sedangkan Allah dapat melihat yang batinnya.
Sekalipun amal itu sedikit, jika ikhlas, Allah tetap menganggapnya banyak.
Sedangkan amal ibadah yang banyak tetapi tidak ikhlas, Allah tetap
menganggapnya sedikit atau macam amalan yang tidak wujud.
Begitulah penting dan bernilainya ikhlas itu. Allah
mahu agama-Nya yang suci murni itu diamalkan secara suci pula yakni tidak
dicelahi dengan sebarang bentuk hati busuk. Tidak dicelahi dengan rasa riyak,
ujub, ingin dipuji, hendak nama, ingin dinilai dengan mata dunia atau dengan
tujuan menolak kemudaratan manusia. Dalam hal ini Allah ingatkan:“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah
agama yang bersih (khalis).” (Az Zumar: 3)
Juga di ayat lain: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya
menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam
menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan
menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al
Baiyinah: 5)
Untuk melakukan ikhlas ini sangat susah dan sulit
terutama dalam sebarang amal ibadah seperti yang kita bincangkan dalam bab
sebelum ini kerana hati itu amat seni sekali. Nafsu itu sangat tersembunyi
perasaan halusnya dan sangat payah dikesan. Untuk menguasainya amat sulit. Ia
berbolak-balik setiap hari dan berubah-ubah pula setiap waktu dan detik.
Perjalanannya tidak menentu. Bertukar-tukar dari ujub, riyak, sombong, dengki,
gila puji, gila nama, ingin dinilai dengan harga dunia dan susah untuk
didisiplinkan. Amal ibadah itu selalu terdorong ke arah kepentingan-kepentingan
dunia ini.
Riyak, ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling
payah dihindari kerana gerakannya terlalu halus. Macam desiran semut, tidak
dapat didengar bunyinya. Kita tidak terasa kemahuan-kemahuan nafsu atau
dorongan-dorongan kemahuan hati yang jahat kerana halusnya itu. Inilah yang
dikatakan syirik khafi. Kalau tidak disuluh dengan pandangan mata hati
(basirah), ia tidak akan terasa adanya.
Salafussoleh, bila kenangkan hal-hal begini, mereka
selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi ini. Takut ibadah
mereka tidak ada harga di sisi Allah. Takut mereka akan muflis di Akhirat
sedangkan untuk dapatkan ikhlas terlalu susah. Ikhlas hanya milik Allah. Ia
adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu.
Mereka hanya tahu amal lahir sahaja.
Sebab itu dalam sejarah pernah diceritakan betapa
susahnya untuk dapatkan sifat ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh
Sayidina Muaz.
Rasulullah SAW bersabda: “Puji syukur ke hadrat
Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya. Wahai Muaz!”
Jawabku: “Ya Saiyidil Mursalin.”
Sabda Rasulullah SAW: “Sekarang aku akan
menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu
akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak
akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak. Hai Muaz, Allah itu menciptakan
tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada
seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh
malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya. Malaikat yang
memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit
pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah: ‘Saya penjaga tukang
umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan
untuk tidak menerima amalan tukang umpat.”
Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan
si hamba. Di langit kedua penjaga pintunya berkata: “Lemparkan balik amalan ini
ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah
memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang
lain.” Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang
sungguh indah. Penjaga langit berkata: “Lemparkan balik amalan ini ke muka
pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.”
Rasulullah SAW meneruskan sabdanya: “Berikutnya
malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga
langit itu berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya. Dia seorang
yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.”
Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit
kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain
tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata: “Ini adalah amalan tukang
hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya yang
lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan
amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan
hasad.”
Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: “Saya
penjaga rahmat. Saya diperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah
ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau
orang mendapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi
langit ini.’
Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba
yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya
bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak
dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: ‘Saya ini penjaga
sum’ah (ingin masyhur). Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam
kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan
yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan
padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih
kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan
orang-orang yang riyak.”
Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan
membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang
baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga
sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT. Semua malaikat
berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh
yang betul-betul ikhlas untuk Allah.
Tetapi firman Tuhan: “Hafazah sekalian, pencatat
amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang
dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan
amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak
boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan
tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa
yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal
terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan
pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana
hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya? Laknat-Ku tetap padanya.”
Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat
yang mengiringinya pun berkata: ‘Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu
dan laknat kami sekalian bagi mereka.’ Dan semua yang di langit turut berkata:
‘Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat’.”
Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan
berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa yang diceritakan
ini?”
Sabda Rasulullah SAW: “Hai Muaz, ikutilah Nabimu
dalam soal keyakinan.”
Muaz bertanya kembali: “Tuan ini Rasulullah
sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh
lepas dari bahaya tersebut?”
Sabda Rasulullah SAW: “Ya begitulah, kalau dalam
amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang
lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat
diri dan menekan orang lain. Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui
orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat.
Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak
diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan
Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang
takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan
merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek
oleh anjing-anjing jahanam.” Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Di Neraka
itu ada anjing-anjing perobek badan manusia.”
Muaz berkata: “Ya Rasulullah, siapa yang tahan
menanggung penderitaan semacam itu?”
Jawab Rasulullah SAW: “Muaz, yang kami ceritakan
itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar
semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri
dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu
sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”
Amal ibadah akan tertolak percuma ibarat debu-debu
ber-terbangan kalau keikhlasan hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu
ikhlas bukan boleh ditentukan dengan kata-kata. Misalnya: “Saya beri ini dengan
penuh ikhlas.” “Saya buat ini ikhlas untuk awak.” “Kutujukan ikhlas untukmu.”
“Saya yang ikhlas.” “Saya bantu awak dengan ikhlas hati.”
Tidak perlu disebut ikhlas. Tidak usah ungkapkan
kata-kata tersebut. Ikhlas itu bahasa hati atau kerja hati. Kalau disebut,
ternyata tidak ikhlas. Sebab itu diam sahaja lebih baik. Kita tidak tahu apakah
kita ikhlas atau tidak. Malaikat yang kerohaniannya tajam pun tidak tahu,
mengapa kita yang kerohaniannya tidak tajam mengaku kita ikhlas. Inilah tanda
tidak ikhlas.
Kalau begitu bagaimana hendak mengesan amal ibadah itu
ikhlas atau tidak?
Kita bawa contoh-contoh di bawah ini sebagai panduan untuk mengukur
keikhlasankita.
1. Apakah kita sembahyang, wirid, zikir, doa dan
baca Quran di rumah dengan di masjid ada perbezaan? Di rumah kita buat
cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan di masjid kita lakukan dengan
penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap atau cuba sedap-sedapkan suara
kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada di masjid yakni di depan orang
ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.
2. Pernahkah kita tidak buat sembahyang sunat
sewaktu di rumah tetapi kita buat atau buat lebih banyak kalau di masjid? Kita
buat kerana takut orang kata atau malu pada orang. Itu tanda tidak ikhlas.
3. Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga,
sedap dan suka hati? Waktu dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih?
Kalau terasa megah atau sedih, ertinya belum ikhlas.
4. Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya
mesti ditulis dalam daftar atau disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak,
kita tidak mahu menderma untuk masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan
lain-lain lagi. Atau terpaksa ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau
tidak, kita tidak menderma. Itu tanda tidak ikhlas.
5. Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk
dapat hadiah besar atau piala dan lain-lain? Kalau tidak kita malas atau
langsung tidak membacanya. Ini tanda tidak ikhlas.
6. Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat
kebaikan kemudian suka sebut-sebut atau dengan harapan supaya orang itu balas
kebaikan kita? Apakah selepas kita berbuat baik pada seseorang, kemudian bila
dia lukakan hati kita, langsung kita berkata di depan atau di belakangnya:
“Tidak patut engkau buat begini pada aku. Aku dah banyak tolong engkau. Kalau
aku tak tolong selama ini, susah engkau. Memang orang tak kenang budi.” Ini
juga tanda tidak ikhlas.
7. Pernahkah kita menderma hanya di depan orang
tetapi kalau secara sembunyi, kita tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.
8. Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus
oleh kita sahaja? Bila orang lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini
juga tidak ikhlas.
9. Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji
dan elaun maka kita aktif dan gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita
bersyarah merata-rata tempat. Tapi bila tidak ada jawatan, kita tidak minat
buat kerjakerja itu lagi. Atau kita ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi,
langsung kita tidak minat sebut Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu
namanya, tanda tidak ikhlas.
10. Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang
jauh itu kita pandang pada elaun? Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak
pergi. Atau kalau pergi pun dengan hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda
tidak ikhlas.
11. Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya
dalam pidato-pidato atau seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan
biasa tidak sibuk mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini
juga tidak ikhlas kerana ada motif nama dan kemasyhuran.
12. Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita
diberi gaji? Kalau tidak ada gaji, kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga
secara terpaksa kerana takut dikatakan, ‘Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!’.
Itu tanda tidak ikhlas.
13. Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya
sewaktu-waktu kita harapkan dapat kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati
rakyat dengan harapan parti kita dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi
lagi atau sudah tua, kita tidak sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada
kepentingan diri namanya. Juga tidak ikhlas.
14. Adakah kita buat teguran hanya pada orang-orang
kecil atau orang bawahan sahaja? Tetapi bila tuan-tuan di atas kita buat
kesalahan, kita tidak berani hendak tegur? Ini tanda tidak ikhlas.
15. Adakah di depan ramai sahaja kita kuat jaga
disiplin? Berlakon jadi baik. Bila di belakang orang, hilang disiplin. Mulalah
tidak dapat hendak kawal mata keranjang. Mula tidak dapat mengawal telinga, dan
tidak berakhlak. Ini berakhlak tidak ikhlas namanya.
16. Adakah bila kita ada jawatan dalam kampung atau
di masjid atau apa-apa juga jawatan dalam masyarakat, baru mahu berkorban?
Tetapi bila tidak ada jawatan, tidak mahu berkorban lagi. Itu tanda kerja kita
tidak ikhlas.
17. Renungkanlah, apakah kita mahu belajar Islam
kerana ada jaminan masa depan? Kalau tidak, mungkin kita tidak belajar. Atau
tidak bersungguh-sungguh belajar Islam. Ini juga tidak ikhlas.
18. Pernahkah kita beri bantuan kerana orang itu
berbuat baik kepada kita? Sedangkan kalau orang tidak berbuat baik pada kita,
kita tidak suka membantunya, walaupun orang itu patut dibantu. Ini juga tidak
ikhlas.
19. Adakah kita rasa tidak senang bila ada orang
sekali-sekala menggantikan kita berceramah atau bersyarah di tempat-tempat
kebiasaan kita. Atau kita rasa bangga atau rasa senang hati kerana dia membantu
kerja-kerja kita buat kebaikan? Jika tidak, ini juga tidak ikhlas.
20. Pernahkah terjadi dalam mana-mana mesyuarat
atau mana-mana perbincangan, kita mahu biarlah cadangan-cadangan yang baik dan
bagus hanya datang dari kita? Kalau ada orang lain turut sama memberi pandangan
walaupun baik, kita rasa tidak senang? Ini tanda tidak ikhlas. Orang yang
ikhlas, dia mahu orang lain juga dapat memperkatakan kebenaran. Bukan hanya
melalui dirinya seorang.
21. Adakah depan orang ramai saja ilmu Islam itu
jadi bualan kita tetapi bila berhadapan dengan anak isteri, kita bungkam? Malas
hendak memperkatakan Islam. Tidak ghairah hendak sebut hal-hal Islam atau
hal-hal perjuangan. Ini juga kerana bermotif nama dan kemasyhuran. Depan anak
isteri mana dapat nama atau kemasyhuran.
22. Adakah kita hantar anak belajar di satusatu
sekolah kerana mengharapkan didikan, tarbiah dan akhlak yang baik? Bukan kerana
jaminan sijil atau dapat kerja? Atau sebaliknya yakni kalau tidak ada sijil
atau tidak ada jaminan kerja, kita tidak hantar anak kita walaupun sekolah itu
baik didikannya? Ini juga tidak ikhlas.
23. Adakah kita menutup aurat kerana orang suruh
atau menutup aurat ini hanya di tempattempat yang tertentu sahaja? Atau di
majlis-majlis rasmi sahaja seperti majlis kematian. Atau menampakkan sebahagian
anggota yang terlarang atau pakaian terlalu ketat atau jarang? Atau bertudung
untuk bermegah-megah? Ini semua tidak ikhlas.
24. Seorang yang pernah kita beri bantuan kerana
dia patut menerima lantaran kemiskinan atau kesusahannya, kemudian dia cacatkan
hati kita, apakah kita terus memberikan bantuan itu? Kalau kita teruskan
memberi bantuan itu kepadanya, itu tanda ikhlas.
Cukuplah setakat ini contoh-contoh yang lumrah
berlaku di tengah-tengah kehidupan kita. Agar ia menjadi kayu pengukur sejauh
mana keikhlasan kita selama ini. Kita tentu ada penga-laman bersama dalam salah
satu hal-hal yang berlaku di atas. Kalau begitu ukurlah diri masing-masing,
apakah usaha-usaha, kerja-kerja dan amal ibadah sudah ikhlas atau belum?
Untuk mendapat ikhlas amat susah. Tetapi bila tidak
ada ikhlas, ertinya tidak ada roh amal. Tidak ada nyawa ibadah. Walaupun
manusia itu nampaknya hebat, di sisi Allah, tidak ada apa-apa nilai. Kosong.
Ibarat habaan mansura yakni habuk-habuk yang berterbangan, hilang begitu
sahaja. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah jadikan kami orang
yang ikhlas. Jadikan usaha kami kerana-Mu. Jangan diselit di hati kami
selain-Mu. Pimpinlah kami wahai Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Agar usaha-usaha kami tidak sia-sia. Amin. Ya Rabbal’alamin. Ya Mujibassailin,
Wahai Tuhan yang menunaikan segala permintaan orang yang meminta.”
Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas itu balasannya
ialah syurga seperti sabda Rasulullah SAW: Allah SWT berfirman, “Aku menyediakan bagi
hamba-hamba-Ku yang soleh (ikhlas), apa yang belum terlihat oleh mata dan belum
terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.” (Muttafaqun
‘Alaih)
Subscribe to:
Posts (Atom)